Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Liow: Pelawaan Jamal tanding di Sekinchan 'mengarut'
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 6:50 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan pelawaan Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan sebagai "mengarut".

"Saya rasa ia adalah mengarut dan tak logik," katanya kepada wartawan di sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Liow, yang juga anggota Parlimen Bentong, berkata tumpuannya pada masa ini adalah di peringkat nasional.

"Saya rasa ini (bertanding di Sekinchan) adalah satu perkara orang kata tak mungkin berlaku kerana saya sebagai presiden MCA kita memang fokus dalam pembangunan negara kita," katanya dalam rakaman KiniTV.

Bagaimanapun, Liow kemudian melembutkan nadanya dengan menyatakan cadangan Jamal mungkin dibuat kerana beliau mahu MCA Selangor bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Memang saya selaku MCA Selangor chairman saya bertanggjungjawab pastikan Selangor, persiapan menghadapi PRU ini dalam keadaan terbaik.

"Saya yakin beliau (Jamal) cuba memastikan bahawa MCA dalam keadaan siap siaga sentiasa dan kita akan pastikan MCA Selangor bersedia menghadapi PRU akan datang," katanya.

Liow menegaskan Sekinchan secara tradisinya ditandingi MCA sejak sekian lama dan tidak ada pertikaian mengenai perkara itu.

Beliau juga yakin peluang MCA memenangi kerusi berkenaan selain menegaskan 30 peratus pengundi di Sekinchan adalah anggota MCA.

Minggu lepas, Jamal mencadangkan Liow bertanding di Sekinchan dalam usaha menewaskan Ng Suee Lim, calon ADUN DAP di sana.

Ng merupakan ADUN Sekinchan selama tiga penggal berturut-turut.

Pada PRU13, NG memenangi kerusi itu dengan memperolehi 8,107 undi menewaskan MCA yang mendapat 5,868 undi.

Lihat Komen
ADS