Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indonesia beri bantuan guaman dalam kes amah mati didera
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 11:04 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

Kementerian Luar Indonesia akan memberikan bantuan guaman dalam kes membabitkan Adelina Lisio, 28 pembantu rumah warga negara itu yang meninggal dunia dipercayai didera di Malaysia.

Menteri Luar, Retno Marsudi berkata, kementerian itu telah berhubung dengan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia sejak menerima berita itu.

"Dapat saya pastikan bahawa kami akan melakukan bantuan guaman. Dalam erti kata, kes itu akan terus kami ikuti," kata Retno kepada wartawan di Kompleks Istana Presiden, Jakarta, hari ini.

Retno berharap dengan bantuan perundangan itu, hak mangsa akan terjamin termasuk mendapatkan ganti rugi.

"KJRI akan mengawasi proses undang-undang dan memastikan hak-hak dapat dipenuhi, termasuk dalam hal ini, hak atas gantirugi atau disebut remedial justice," kata Retno seperti dilapor Kompas.

Retno juga berkata pihaknya akan memastikan pihak berkuasa Malaysia akan menangani kes berkenaan dan menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan turut menyampaikan takziah atas kejadian itu.

"Kami ingin memastikan hak perundangan termasuk ganti rugi, dan kami awasi. Apa yang terjadi pada saudara kita sudah tidak boleh kita terima," kata Retno.

Ahad lalu, Adelina yang disyaki didera majikannya dalam kejadian di Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Susulan itu polis menahan seorang wanita dan abangnya berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan kepada wanita itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita itu dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung sebuah rumah selama lebih sebulan sebelum dia ditemui Sabtu lalu.

Semalam, wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang Neni Kurniati berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan berharap keadilan akan diberikan sewajarnya terhadap mangsa.

Lihat Komen
ADS