Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB NS yakin BN akan terus terima sokongan masyarakat India
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 6:24 AM
Dikemaskini: 10:30 PM

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yakin Barisan Nasional (BN) akan terus menerima sokongan padu daripada masyarakat India di negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi BN Negeri Sembilan itu berkata ini kerana masyarakat India hari ini berasa kecewa dengan pelbagai janji yang ditaburkan pembangkang yang masih gagal ditunaikan.

Katanya, di Negeri Sembilan semua isu masyarakat India telah pun diselesaikan.

"Semua masalah selesai, tak ada isu. Isu kuil dah selesai, isu sekolah selesai... jangan dengar cakap orang (yang memburukkan kerajaan). Apa yang dia buat pada masyarakat India?" katanya dalam program Indian Young Stars Talk Show di Port Dickson malam tadi.

Dalam program itu, Mohamad turut menjelaskan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi manfaat semua kelompok rakyat di negeri ini termasuk projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

"MVV adalah pelan jangka panjang pemodenan Negeri Sembilan. Kita mahu laksanakan satu pembangunan yang mampan, lestari, terancang dan futuristik.

"Kita tak mahu mengulangi kegagalan sistem bandar raya yang lain dari segi pengangkutan awamnya, sistem pembangunannya. Melalui MVV yang dijangka mampu meraih sebanyak RM290 bilion pelaburan dan mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan, saya mahu anak-anak negeri ini rebut peluang yang ada," katanya.

Mohamad berkata melalui MVV juga, ia mampu merubah landskap sosial dan ekonomi negeri.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan serta barisan exco kerajaan negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS