Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian penoreh di Yala, gajah liar dari M'sia dipersalahkan
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 6:31 AM
Dikemaskini: 10:38 PM

Seekor gajah liar dari Malaysia yang merayau masuk ke wilayah Thailand dipersalahkan bagi kematian seorang penoreh getah warga emas di Yala, wilayah di selatan Thailand dekat sempadan Malaysia-Thailand.

Sao Somyos, 75, yang tinggal di kampung Moo 5, ditemui mati di sekitar Tambon Tham Thalu. Dia mengalami beberapa kecederaan di kepala dan badan.

Mayatnya ditemukan berhampiran pondok mangsa di sebuah ladang getah. Terdapat kesan tapak kaki gajah di kawasan berdekatan.

Menurut penolong ketua daerah Banang Sata, Chaiwat In-on, pihak berkuasa termasuk pegawai dari taman negara mengesyaki gajah liar itu telah merayau-rayau dari kawasan hutan di Malaysia.

Beliau berkata pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai kematian lelaki itu pada pada 7.30 pagi kelmarin.

Sementara itu, ketua taman negara daerah, Sansern Thep-osoth mengesahkan bahawa gajah liar itu telah merayau-rayau dari kawasan di Malaysia.

Beliau berkata ini bukan kali pertama gajah tersebut merayau memasuki wilayah di Thailand untuk mencari makanan.

Sebelumnya, haiwan tersebut telah dihalau balik ke wilayah Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS