Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja kantin didakwa dera anak perempuan
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 10:50 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

Seorang pekerja kantin kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Taiping hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuannya berusia enam bulan, 2 Feb lepas.

Tertuduh Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mendera bayi itu sehingga mengalami kecederaan pendarahan dalam otak di Kampung Paya Baru, Kamunting kira-kira pukul 3 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 Mac ini.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS