Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam Johor dapat RM30,000 kerana lapor rasuah
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 11:33 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi lebih RM30,000 wang penghargaan kepada penjawat awam Johor yang melaporkan salah laku rasuah oleh orang awam.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata pemberian jumlah wang itu meliputi tempoh dari 2013 hingga 2017 yang melibatkan sebanyak 32 kes yang telah dibawa di mahkamah.

Beliau berkata kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Agama Islam, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia adalah antara penjawat awam yang melaporkan salah laku itu.

“Wang penghargaan diberikan mengikut garis panduan pengiktirafan kepada penjawat awam yang diarahkan Ketua Setiausaha Negara pada 1 Jun 2011.

“Ini bagi menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah, sekaligus menghapuskan budaya itu dan membersihkan perkhidmatan penjawat awam daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Gempur di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata program itu merupakan kesinambungan daripada Kempen 3J “Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle” yang memberikan fokus terhadap orang awam yang mengamalkan rasuah.

"Sebelum ini, kita fokus kepada orang awam namun kali ini kita fokus kepada penjawat awam khususnya di jabatan yang berisiko tinggi seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Perolehan," tambah beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS