Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus pada 2017, dengan permintaan sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan unjuran bagi 2018 kekal kukuh, disokong oleh permintaan domestik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada suku keempat 2017, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga tumbuh 5.9 peratus.

KDNK 2017 lebih tinggi berbanding 4.2 peratus dan 5.0 peratus yang dicatatkan masing-masing pada 2016 dan 2015. KDNK suku keempat 2016 mencatatkan 4.5 peratus.

Bagi bekalan, semua sektor ekonomi meneruskan peningkatan, kecuali sektor perlombongan, kata BNM.

Bagi asas pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi tumbuh 0.9 peratus (suku ketiga 2017: 1.8 peratus), katanya.

BNM berkata inflasi utama menyederhana kepada 3.5 peratus pada Q4 2017 (Q3 2017: 3.6 peratus) disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori perumahan, air, elektrik serta gas dan pengangkutan.

Bagi 2017 secara menyeluruh, inflasi utama mencatatkan purata 3.7 peratus (2016: 2.1 peratus).

"Inflasi utama dijangka menyederhana pada 2018, mencerminkan sumbangan yang lebih kecil daripada faktor kos global dan ringgit yang lebih kukuh berbanding 2017," katanya.

BNM berkata tekanan menaik hasil daripada permintaan yang teguh akan dihadkan oleh kapasiti ganti berterusan dalam pasaran buruh dan pelaburan berterusan bagi pengembangan kapasiti.

Bagaimanapun, trajektori inflasi utama tetap bergantung kepada trend harga minyak dunia yang kekal tidak menentu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS