Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan iktiraf Najib bebas daripada skandal 1MDB

Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah injunksi sementara yang diperoleh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya (Pua) berhubung klip video yang Perdana Menteri mendakwa berbaur fitnah.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam dengan sebulat suara menolak rayuan Pua untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan perintah injunksi sementara kepada Najib untuk menghalang Pua daripada mengulangi dakwaan berbaur fitnah itu.

Hakim Yaacob yang menyampaikan penghakiman mahkamah berkata mahkamah mendapati bahawa Najib telah memenuhi syarat yang diperlukan untuk injunksi sementara dibenarkan.

Beliau berkata terdapat bukti bahawa Pua (gambar, kiri) berniat untuk mengulangi kenyataan yang dikatakan berbaur fitnah.

Yaacob juga berkata mahkamah mengambil perhatian kehakiman bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan bahawa Najib tidak melakukan apa-apa salahlaku berkaitan 1MDB.

Beliau berkata siasatan juga dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, dan Peguam Negara dan hasil siasatan yang telah diumumkan kepada orang ramai oleh Peguam Negara dan SPRM membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku jenayah.

Yaacob berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi undang-undang apabila membenarkan perintah injunksi sementara kepada Najib.

Najib menyaman Pua atas kapasiti peribadi beliau dengan mendakwa bahawa Pua telah membuat kenyataan fitnah ke atasnya melalui klip video bgerkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Klip video Pua

Perdana Menteri mendakwa klip video yang dimuat naik oleh Pua atau ejen-ejennya menerusi laman rasmi Facebook defendan, berdurasi dua minit dan 21 saat dan bertajuk "BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member's Bill," boleh diakses secara meluas dan bebas melalui internet.

Pada 21 April, tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk perintah injunksi ex-parte bagi menghalang Pua daripada menerbitkan kenyataan atau kata-kata yang sama.

Pada 26 Januari tahun ini, mahkamah rayuan menangguhkan keputusan dalam rayuan Pua selepas mendengar hujah daripada para peguam. Mahkamah kemudian menetapkan hari ini untuk menyampaikan keputusan.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa perbicaraan kes itu telah ditetapkan pada 23 April.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua berkata beliau akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS