Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pencarum panik dengar bangunan KWSP terbakar
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 10:03 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Terkejut mendengar berita kebakaran di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam, seorang pencarum mengakui panik memikirkan keselamatan wang simpanan di institusi berkenaan.

Ahmad Azwan, 31, berkata pada awalnya beliau menyangka keseluruhan bangunan KWSP itu terbakar, namun lega apabila mendapati hanya sebahagian premis itu yang terjejas.

"Apabila saya lihat kesan kebakaran bangunan terjejas agak teruk sehingga saya terfikir bahawa wang dalam KWSP turut terbakar hangus.

"Waktu itu hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya apabila mendengar bangunan yang berusia 58 tahun itu terbakar,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Ahmad semalam beliau tidak sempat meninjau keadaan di bangunan itu kerana berada di luar kawasan dan hanya berbuat demikian hari ini.

Beliau yang juga berhasrat untuk membuat urusan di institusi berkenaan bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki perkarangan bangunan kerana premis berkenaan ditutup sementara waktu untuk siasatan dan pencarum perlu ke cawangan KWSP yang lain untuk sebarang urusan.

Sementara itu, seorang kakitangan KWSP yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, 40, memaklumkan sebahagian petugas sedang sibuk memindahkan barangan dan dokumen berkaitan ke tempat yang lebih selamat.

“Saya tidak pasti ia dibawa ke mana memandangkan bukan kesemua kakitangan yang terlibat memindahkan barangan, kakitangan yang selebihnya diberikan cuti manakala premis berkenaan ditutup buat sementara waktu bagi memudahkan proses pemindahan barangan dan siasatan pihak bomba serta polis,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa petugas bomba dan polis masih mengawasi bangunan berkenaan dan difahamkan turut melakukan siasatan kes kebakaran berkenaan.

Semalam, sebahagian bangunan KWSP di Jalan Gasing, yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan terbakar sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya berkenaan.

Dalam kejadian itu kira-kira 11 pagi itu , sebanyak 527 orang kakitangan KWSP dan pelanggan yang berada di bangunan setinggi enam tingkat itu selamat dan tiada mangsa yang cedera.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira 11.52 pagi semalam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian serta dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit.


-Bernama
 

Lihat Komen
ADS