Lelaki warga emas ditemui rentung

   

Seorang lelaki warga emas yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Batu 4, Pida 8, Jalan Sanglang, Kodiang dekat Jitra malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata setibanya anggota bomba di lokasi kejadian mendapati rumah itu sudah musnah 90 peratus.

Mereka menemui mayat rentung Salleh Arifin, 63, yang tinggal seorang diri.

Beliau berkata pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.51 malam sebelum jentera pertama daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lana Bulu, Ayer Hitam tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terlibat adalah Jitra tetapi jarak balai ke tempat kejadian lebih kurang 30 kilometer. Seterusnya dibantu BBP Arau untuk operasi pemadaman api.

"PBS lain yang turut terlibat membantu memadam api adalah PBS Ayer Hitam, Tunjang, Sanglang, Arau dan Mukim Keplu," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohamad Mustakim berkata api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 10.15 malam.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.