Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umpama bunyi roket lalu belakang saya'
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 6:10 AM
Dikemaskini: 10:23 PM

“Ia seperti bunyi roket yang laju lalu di belakang saya,” kata salah seorang mangsa yang cedera dalam insiden mengerikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan kelmarin.

Dalam kejadian itu, Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, mengalami luka sepanjang tiga sentimeter di belakang kepalanya, terkena bilah pisau traktor pemotong rumput.

Dia yang ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Bangkahulu, Gemas, tidak menyangka penyertaan kali pertamanya dalam hari sukan sekolah bertukar tragedi.

“Masa tu raptai sukan, ustaz cakap duduk dekat dalam kumpulan-kumpulan dalam barisan... kat tepi tu ade mesin traktor tu tengah potong rumput ikut line barisan lumba lari itu.

“Sekali ade benda datang. Saya pandang depan je. Saya dengar bunyi laju datang macam roket... mula-mula terkena arwah (Nur Afini Roslan), lepas tu terkena kawan saya lepas tu terkena saya macam terhentak.

“Saya pandang bawah ade kulit. Saya pandang sekeliling dia dah terbaring. Pastu saya panik,” katanya kepada pemberita di Gemas semalam.

 

Dia yang dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah semalam telah dibenarkan pulang 12.30 tengah hari semalam.

Mengakui masih lagi trauma dengan keadaan itu, anak bongsu daripada dua beradik itu tidak menolak sekiranya dibenarkan untuk menyertai perbarisan hari sekolahnya yang ditangguhkan ke satu tarikh tertentu.

Sementara itu, ibu mangsa, Zailina Mohd Nor, 48, kesal perkara sebegitu boleh berlaku di dalam kawasan sekolah.

Namun beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya berharap perkara ini menjadi pengajaran agar tidak berulang.

“Benda dah jadi kan, kita tak boleh hidu malang ni... tak guna salahkan sesiapa,” katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi kelmarin, pelajar perempuan tingkatan dua, Nur Afini maut selepas kepalanya turut terkena bilah mesin traktor pemotong rumput berkenaan.

Seorang lagi pelajar, Abdullah Hazlan, 14, cedera di telinga dalam insiden itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS