KDNK M'sia mampu cecah RM2 trilion menjelang 2022
Malaysia mampu menjadi negara dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM2 trilion menjelang 2022 jika dapat mengekalkan pertumbuhan pada kadar 5.0-6.0 peratus setiap tahun, kata Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan keadaan ekonomi yang kukuh ketika ini, Malaysia juga berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran berkenaan.
"Menerusi usaha yang sedang dilaksanakan, kita mengharapkan mampu mencapai ekonomi (bernilai) RM2 trilion menjelang 2022," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai Perangkaan Ekonomi bagi Suku Keempat dan Tahunan 2017, di Petaling Jaya hari ini.
Katanya antara penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara adalah fokus kerajaan terhadap ekonomi digital, innovasi dan kreativiti serta penekanan kepada sumbangan lebih besar daripada perusahaan kecil dan sederhana.
Mengulas selanjutnya, Mohd Uzir berkata, nilai KDNK Malaysia pada harga semasa adalah berjumlah RM1.35 trilion pada 2017 iaitu lebih tinggi berbanding RM1.23 trilion pada 2016.
Katanya nilai KDNK Malaysia juga dijangka berkembang menghampiri nilai RM1.5 trilion tahun ini berdasarkan persekitaran semasa yang menggalakkan, aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan serta perlaksanaan projek-projek infrastruktur utama.
“Projek infrastruktur ini boleh merangsang banyak aktiviti-aktiviti lain seperti perkhidmatan, penghantaran dan perhubungan. Jadi, ia (projek infrastruktur utama) akan memberi kesan limpahan (aktiviti berkaitan),” katanya.
Bagi unjuran 2018, Mohd Uzir berkata ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 5.0 hingga 5.5 peratus disokong oleh pertumbuhan perdagangan luar serta penggunaan domestik.
Eksport bagi tahun itu juga diunjur berkembang kepada RM948.7 bilion daripada RM917.5 bilion pada tahun lepas manakala import tumbuh kepada RM851.7 bilion daripada RM822.9 bilion pada tahun sebelumnya.
"Inflasi dijangka menguncup kepada antara 3.0 hingga 3.5 peratus berbanding 3.6 peratus tahun lalu manakala kadar pengangguran pula dijangka kekal stabil di sekitar 3.4 peratus," katanya.
Beliau juga menyifatkan peningkatan kadar perbelanjaan rakyat Malaysia ke luar negara menunjukkan kadar pendapatan boleh guna rakyat negara ini yang tinggi, termasuk membelanjakan RM45 bilion bagi kunjungan ke luar negara antaranya bagi tujuan keagamaan pada 2017 berbanding RM39 bilion bagi tahun sebelumnya.
Selain itu, mengulas cabaran masa kini, Mohd Uzir berkata antara faktor halangan kenaikan kadar gaji adalah disebabkan aspek kesalinghubungan di peringkat global yang memudahkan pergerakan barangan.
“Jika sesebuah negara mengeluarkan barang pada harga murah dan boleh dihantar ke mana-mana lokasi, ini membantu ekonomi di negara pengeluar dan bukan negara penerima,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan pesat ekonomi digital hasil peningkatan kesalinghubungan juga dapat mewujudkan keseimbangan harga yang lebih berpatutan dan memberi pilihan lebih baik kepada pengguna.
Malah, katanya, usaha kerajaan menarik pelaburan berkualiti dan memiliki nilai tambahan juga dapat meningkatkan pasaran bagi pekerja mahir, sekali gus membantu meningkatkan kadar gaji.
Pekerja mahir merupakan 27.2 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia setakat tahun lepas berbanding pekerja separa mahir sebanyak 59.2 peratus manakala pekerja berkemahiran rendah sebanyak 13.6 peratus.
- Bernama

