Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin: Pelaburan China di Malaysia perlu dialu-alukan
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 6:30 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan dari China di negara ini perlu dialu-alukan.

Bertentangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik pelaburan langsung asing (FDI) dari negara itu, Azmin berpandangan ia memberi manfaat kepada negara.

"Kita perlu menerima hakikat kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan (peranannya) sebagai rakan dagang utama Malaysia.

"Inisiatif One Belt, One Road (OBOR) China mahu membuka pintu buat negara Asia dan Asean dan merapatkan hubungan ekonomi dengan kita, kita perlu alu-alukan mereka untuk melabur di sini," katanya dalam wawancara dengan Nanyang Siang Pau.

OBOR merupakan inisiatif pembangunan infrastruktur global yang dimulakan negara itu.

Antara projek OBOR di Malaysia ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Kuatan Malaysia-China (MCKIP), Melaka Gateway dan Universiti Xiamen Malaysia.

Kerisauan utama kebanjiran FDI dari China adalah semakin banyak tanah di negara ini dimiliki pihak asing dan merugikan syarikat tempatan.

Azmin berkata dasar kerajaan amat penting dalam menentukan sama ada pelaburan China akan memberi kebaikan kepada pasaran domestik.

"Kerajaan Selangor percaya Malaysia dan China mempunyai sejarah panjang (kerjasama).

"Pada masa ini, ini adalah cara terbaik untuk meningkatkan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara.

"Perkara utama adalah kita perlu memastikan pelaburan China akan mewujudkan nilai dan membantu kemakmuran penduduk Selangor," katanya lagi.

Mahathir dilaporkan berkata HARAPAN akan menilai kembali dan malah membatalkan projek oleh syarikat China yang dilihat tidak bermanfaat jika menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, FDI sebenarnya adalah kemasukan pelaburan dan teknologi daripada negara luar tetapi dengan pelaksanaan pihak tempatan di semua peringkat.

"Tetapi apa yang Najib buat adalah membawa wang masuk untuk membeli tanah...dan pelabur asing ini tidak mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"Mereka membawa pekerja dari negara sendiri dan ini tidak memberi manfaat kepada negara kita," kata bekas perdana menteri itu.

Lihat Komen
ADS