KPDNKK minta maaf iklan ayam 'menyalak'
Beberapa jam selepas tular, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memohon maaf atas penyiaran gambar iklan ucapan Tahun Baru Cina yang tersiar dalam sebuah akhbar hari ini.
Melalui mesej ringkas dikeluarkan KPDNKK malam ini kementerian terbabit mendakwa paparan yang menjadi perbualan ramai itu terjadi akibat kesilapan teknikal.
"KPDNKK ingin memohon sejuta kemaafan di atas tersiarnya iklan Tahun Baharu Cina yang disiarkan.
"Kesilapan ini adalah disebabkan kesilapan teknikal pengiklanan," katanya melalui akaun rasmi Facebook kementerian berkenaan sebentar tadi.
Petang tadi Malaysiakini menyiarkan laporan berhubung iklan yang dilihat agak janggal pada akhbar arus perdana berbahasa Sin Chew Daily.
Dianggap unik, iklan yang memaparkan ucapan selamat tahun baru Cina daripada KPDNKK itu menampilkan imej ayam jantan.
Ada dua kejanggalan yang dikesan.
Pertama, untuk tahun baru Cina yang akan disambut esok, ia adalah permulaan tahun anjing.
Kedua, ayam jantan yang selama ini diketahui berkokok, dipaparkan menyalak pula dalam iklan tersebut.
Hormati satu sama lain
Berdasarkan aksara yang disertakan di sebelah ayam jantan itu, ia diterjemahkan sebagai “Wang! Wang!”
Lafaz "wang" dalam bahasa Cina dan bunyinya hampir sama dengan perkataan "kemakmuran" walaupun aksaranya berbeza.
Ayat mengiringi ucapan selamat daripada iklan KPDNKK tersebut bermaksud: “Mengalu-alukan Tahun Anjing yang penuh kemakmuran. Kami dengan sepenuh hati mengucapkan Tahun Baru Cina kepada semua”.
Baca Dr Asri: Melampau samak mulut, tukar darah
Sementara itu, KPDNKK juga menghasilkan video yang turut memaparkan ayam berkokok.
Video di YouTube itu bagaimanapun berkaitan kawalan harga ayam sepanjang Tahun Baru Cina ini.
Berbeza dengan tahun lalu, beberapa pihak dilihat keberatan menggunakan imej anjing untuk hiasan musim perayaan ini dan dipercayai ia ada kaitan dengan persepsi sesetengah masyarakat Islam terhadap haiwan berkenaan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataannya tidak memberi kata putus jelas mengenai status penggunaan imej anjing.
Namun Jakim menggesa orang ramai menggalakkan sikap kebersamaan serta menghormati antara satu sama lain sempena sambutan itu.
Ketua Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata, semua pihak maklum agak penggunaan haiwan sebagai perlambangan dan perlu menghormatinya bagi mengekalkan keharmonian antara kaum.

