Paling Popular
Terkini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggalakkan lebih ramai penjawat awam tampil melaporkan kegiatan pemberian atau penerimaan rasuah.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Abdul Samat Kasah berkata tindakan itu bukan hanya dapat membendung gejala rasuah malah mampu meningkatkan kredibiliti sesebuah jabatan atau agensi kerajaan.

"Stigma tidak mahu melaporkan sebarang kegiatan rasuah ini sepatutnya tidak wujud lagi kerana identiti mereka akan dirahsiakan, keselamatan dijaga malah insentif juga diberikan.

"Kita mahu mengangkat penjawat awam ini sebagai pejuang yang mempertahankan organisasi mereka dan sekiranya usaha ini diterima baik, ia akan menyebabkan pemberi rasuah takut untuk menawarkan rasuah dan apabila didedahkan di dada akhbar, pasti prestasi dan integriti sesebuah organisasi akan meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MITB) yang diketuai Ketua Pengarah MITB Datuk Dr Jalaluddin Harun di Cheras, hari ini.

Menyentuh IBR, Abdul Samad berkata sejak diperkenalkan tahun lepas sehingga semalam, lebih 1,000 organisasi melaksanakan ikrar tersebut dalam memastikan individu yang bekerja di sesebuah organisasi lebih bertanggungjawab dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

Katanya keterbukaan yang dipamerkan setiap organisasi dalam menandatangani IBR membuktikan usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksekutif SPRM semata-mata, tetapi merupakan amanah yang perlu dikongsi semua masyarakat.


-Bernama

Lihat Komen
ADS