Sempena Tahun Baru Cina, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat membina Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur.

"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada kaum Tionghua dan rakyat negara ini.

"Marilah kita membina Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina hari ini.

Abdul Hadi berkata, selama memerintah tiga buah negeri PAS berpegang dengan dasar Islam dan tidak pernah mengamalkan diksriminasi kaum.

"PAS yang berpegang dengan dasar Islam telah berjaya memerintah Kelantan (1959- 1979, 1990-kini), Terengganu (1959-1963, 1999-2004) dan Kedah (2008-2013) tanpa diskriminasi kaum.

"Tidak dirobohkan rumah ibadat bukan Islam dan (PAS) memberi bantuan secara adil kepada mereka sehingga berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat walaupun bukan Islam hanya minoriti," katanya.

Moga lebih 'ong' kata MB

Sementara itu kehadiran Tahun Baru Cina 2018 diharap memberi lebih 'ong' dan bermakna kepada masyarakat Tionghua terutamanya di negeri Kelantan, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, kerajaan negeri dengan prinsip membangun bersama Islam sangat mengutamakan kaum bukan Muslim sebagaimana masyarakat Islam yang lain.

"Walaupun dengan kepelbagaian anutan ia tidak menjadi faktor untuk berpecah-belah dan bermusuhan. Islam adalah agama rahmat dan mementingkan kedamaian antara kaum.

"Justeru kerajaan negeri sentiasa peka terhadap kehidupan masyarakat bukan Islam melalui pelbagai program yang diadakan," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina hari ini.

Buktinya, kata Ahmad, kerajaan Kelantan telah penubuhkan Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) bagi menyalurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat bukan Islam dan peruntukan RM1.88 juta untuk program hubungan antara kaum.

"Semoga dengan hubungan erat antara kaum dan kerjasama sepakat menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang menaungi masyarakat dengan kesejahteraan berpanjangan dan mendapat kerahmatan di sisi Allah.

"Saya dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan sekali lagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2018, Gong Xi Fa Cai," katanya.