Adelina Sau, pembantu rumah warga Indonesia yang meninggal dunia kerana disyaki didera majikannya baru-baru ini dilapor hilang sejak 2015.

Menurut sepupu Adelina, Ambrosius Ku, sejak itu keluarga Adelina tidak mengetahui khabar beritanya sehinggalah mendapat tahu berita mengenai kematiannya baru-baru ini.

Tempo edisi atas talian juga melaporkan nama sebenar wanita berkenaan adalah Adelina Sau, bukan Lisao seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut Ambrosius, sebelum hilang Adelina didatangi seorang wanita di rumahnya beberapa kali bagi mengajaknya bekerja di Malaysia.

"Adelina menolak ajakan itu, kerana ayahnya sering sakit," katanya.

Pada Ogos 2015, Ambrosius berkata wanita itu datang sekali lagi dan secara senyap-senyap membawa Adelina ke Malaysia.

Sejak itu, tidak ada khabar berita mengenai Adelina sehinggalah keluarganya mendapat tahu berita kematian wanita itu baru-baru ini, katanya.

Minta hukuman setimpal

Dalam pada itu, Ambrosius berkata pihak keluarga Adelina meminta agar jenazah mangsa segera dipulangkan ke kampung halamannya untuk dikebumikan.

"Kami hanya minta agar jenazah dipulangkan," kata Ambrosius yang menjelaskan Adelina dilahirkan di Desa Abi, Timor Tengah Selatan pada 15 April 1989 dan berusia 29 tahun.

Beliau juga meminta polis menyiasat kes penyeludupan manusia yang menyebabkan Adelina menjadi mangsa dan mengheret penjenayah terbabit ke muka pengadilan.

"Kami minta agar perekrut dan pengirim harus dihukum seberat-beratnya," kata Ambrosius.

Dua ditahan di Indonesia

Sementara itu AFP melaporkan dua individu ditahan di Indonesia atas dakwaan pemerdagangan manusia berkaitan kes kematian Adelina.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, perekrut pekerja itu, suami isteri tidak dikenal pasti, menggunakan dokumen palsu untuk menghantar mangsa ke Malaysia pada 2015.

Ahad lalu, Adelina yang disyaki didera majikannya dalam kejadian di Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Susulan itu polis Malaysia menahan seorang wanita dan abangnya berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan kepada wanita itu.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita itu dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung sebuah rumah selama lebih sebulan sebelum dia ditemui Sabtu lalu.