Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Israel mengaku yang Malaysia adalah “very tough nut to crack”. Dalam bahasa Melayu, “negara yang sukar ditundukkan’.

Jadi mereka cukup gembira apabila diplomat mereka David Roet dan dua orang yang lain menghadiri persidangan habitat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada 13 Februari, akhbar Israel, The Jerusalem Post, melaporkan bahawa Malaysia yang amat kuat dasar anti-Israelnya telah membenarkan penyertaan delegasi Israel hanya setelah negara Yahudi itu mengenakan tekanan diplomatik yang sampai hingga ke pejabat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Pokok pangkalnya Malaysia tunduk kepada tekanan Israel itu. Satu gol untuk Israel, kosong untuk Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan para penasihat serta penyokongnya, termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mungkin gembira menjadi tuan rumah persidangan itu.

Tetapi adakah mereka sedar akan implikasinya? Mungkin ya dan mungkin tidak.

Persidangan antarabangsa yang berkaitan dengan PBB boleh menjadi laluan untuk Israel menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

Roet memberitahu The Jerusalem Post bahawa Israel berjuang bermati-matian untuk menghantar wakil ke persidangan itu atas dasar bahawa Malaysia sebagai penganjur bertanggungjawab membenarkan peserta dari semua negara anggota PBB untuk hadir.

“Kita menuntut apa yang menjadi hak kita,” kata Roet sambil menambah yang tindakan Israel itu menjadi duluan (precedent) bagi negara-negara lain yang akan menjadi tuan rumah persidangan berkaitan PBB.

Pengajaran dari UAE

Persidangan UN-HABITAT yang akan datang adalah pada tahun 2020 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

UAE tiada hubungan diplomatik dengan Israel tetapi pada tahun 2008 Israel berjaya membuka pejabat perwakilan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa di Abu Dhabi.

Sejak itu ia menggunakan perwakilan tersebut untuk melakukan lawatan diplomatik dan memperluaskan hubungan dagang dengan UAE dan negara-negara Arab berdekatan.

Kesimpulannya, benteng pertahanan Malaysia pecah apabila ia menjadi tuan rumah persidangan UN-HABITAT dan dengan itu terpaksa tunduk kepada tekanan Israel dalam rangka perjanjian PBB.

Menurut The Jerusalem Post lagi, inilah kali pertama dalam masa 53 tahun seorang diplomat Israel berjaya melawat Malaysia. Kali terakhir ialah pada tahun 1965.

Kali ini Israel berjaya memecahkan tembok anti-Israel Malaysia dengan menggunakan pintu belakang.

Jadi eloklah kita lebih berhati-hati dengan kegiatan antarabangsa kita kecualilah kita sengaja membuka pintu belakang untuk menjalin perhubungan dengan negara Yahudi itu.


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini pertama kali dimuat naik di blog beliau. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS