Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjawab sindiran Lim Kit Siang terhadap video ucapan Tahun Baru Cina oleh MCA, timbalan presidennya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata ia bukannya untuk menang anugerah.

Beliau berkata apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan menerusi video itu sampai kepada masyarakat.

"Kami bukan mahu (menang) anugerah Oscar atau Grammy atau anugerah antarabangsa berprestij yang lain. Kami tidak berminat.

"Sebagai parti, sama ada kebolehan lakonan kami baik atau tidak bukan perkara penting. Yang penting adalah mesej yang ingin kami sampaikan," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 15 Februari lalu, Lim menyindir MCA apabila jumlah tontonan video ucapan Tahun Baru Cina oleh pimpinannya - termasuk tiga pemimpin utama - gagal menandingi jumlah mereka yang menonton video ucapan Anggota Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok.

Wee juga mengkritik sesetengah ahli politik yang menggesa masyarakat Cina agar tidak pulang ke kampung halaman pada sambutan tahun baru sebaliknya pulang ketika hari mengundi.

"Oleh sebab itu, video MCA menekankan kepentingan keluarga sebagai sebuah unit dan institusi asas. Masyarakat harmoni bermula dari rumah.

"Kita bertanggungjawab untuk pulang bertemu ibu bapa. Anda tidak boleh dengar gesaan balik kampung hanya untuk mengundi. Politik bukan segala-galanya dalam hidup kita," katanya.

Pertahan Ayer Hitam

Wee berkata tidak pelik jika video yang lebih berunsur "jenaka dan sarkastik" ditonton lebih ramai orang.

"(Tetapi) sama ada anda akan mendapat undi atau tidak, saya tidak tahu. Jika itulah ukuran sokongan anda, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya.

Ketika ini, video ucapan Tahun Baru Cina Kok sudah ditonton 86,000 kali di Youtube, manakala video MCA yang menampilkan barisan pemimpin tertingginya pula ditonton 61,000 kali di laman Facebooknya.

Sementera itu, Wee mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi parlimen Ayer Hitam pada pilihan raya umum akan datang.

Ia di sebalik kesungguhan Pakatan Harapan terutama DAP untuk merampas kerusi Parlimen yang menjadi kubu kuat MCA itu.

"Saya sudah tiga penggal di sana dan telah melakukan banyak perkara, rakyat pastinya dapat menilai.

"Saya akan berdepan dengan sesiapa saja dan berharap akan diberikan mandat baru," katanya.
 

Lihat Komen
ADS