Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Empat sekeluarga mati lemas manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian yang berlaku ketika mereka sedang mandi-manda di Pantai Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan pukul 10.50 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata keempat-empat mangsa yang lemas dikenal pasti sebagai Yazul Bahari Yakob, 46, dan anaknya Yasmin Nor Aliza, 10, dari Serdang, Selangor, adik Yazul Bahari, Yusnina Yakob, 38, dari Tanah Merah dan anak saudara mereka, adik Zufika Suhaimi, 10, dari Semenyih, Selangor.

“Mayat kesemua empat mangsa ditemukan pada pukul 11.15 pagi dan kami sedang menjalankan operasi mengesan Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, iaitu adik Zufika yang masih belum ditemui,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mayat tiga mangsa dijumpai anggota bomba dan seorang lagi dijumpai oleh orang awam tidak jauh dari tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.

Azhar Elmi berkata lima sekeluarga itu bersantai di pantai berkenaan bersempena cuti Tahun Baharu Cina dan keadaan cuaca dikatakan tidak menentu.

Beliau berkata 10 anggota bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jaafar Jusin bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 10.34 pagi.

Katanya pihaknya kini meneruskan usaha mengesan Khaizuran Waliyuddin dengan bantuan pelbagai pihak termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS