Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib ajak pengundi Langkawi pilih pemimpin parti kuat

Tiada seorang individu pun, termasuk yang pernah menyandang jawatan perdana menteri, mempunyai kemampuan untuk memerintah negara tanpa sokongan parti yang kuat, kata Datuk Seri Najib Razak malam ini kepada penduduk Langkawi.

Perdana Menteri berkata perkara itu sememangnya amat jelas bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen di mana hanya parti yang memenangi kerusi paling banyak yang dapat menentukan hala tuju negara.

“Kalau kita punya parti yang tidak tentu kedudukannya, sama ada boleh menang atau tidak (majoriti kerusi Parlimen dalam pilihan raya), kita tidak akan dapat menentukan hala tuju dan dasar negara,” katanya semasa berucap pada majlis Ramah Mesra sempena Tahun Baharu Cina bersama-sama masyarakat Cina Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi.

Tanpa menyebut nama, kenyataan Najib jelas merujuk kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhasrat bertanding pada pilihan raya umum ke-14, dengan kemungkinan di kawasan Parlimen Langkawi.

“Malah, nak meluluskan peruntukan untuk Langkawi pun amat sukar kalau hanya menjadi ahli parlimen biasa tanpa ada kekuatan untuk membentuk kerajaan,” kata Najib yang juga pengerusi BN.

Hanya BN mampu bangunkan Langkawi, kata PM

Najib berkata dalam mengorak langkah ke masa hadapan, rakyat di Langkawi hanya perlu memilih antara individu yang mewakili parti kuat yang dapat menentukan dasar negara atau individu yang hanya bersandarkan sejarah dan sentimen.

“Saya percaya kalau kita menggunakan akal kita dengan rasional, masa depan kita akan jauh lebih baik kalau kita memilih calon BN untuk mewakili kita,” katanya.

Beliau berkata jasa pemimpin sebelum ini dalam menerajui usaha pembangunan tidak pernah dinafikan tetapi dalam memastikan pembangunan itu berterusan, hanya kerajaan BN sahaja yang mampu melakukannya.

“Hanya BN yang mampu membantu kita sekarang dan masa hadapan dalam terus membangunkan Langkawi menjadi pulau destinasi utama pelancong,” kata beliau.

Najib berkata sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau telah merangka rancangan untuk membawa pembangunan lebih tinggi dalam sektor pelancongan di Langkawi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi 2.0 yang merupakan perancangan induk pembangunan pelancongan di pulau itu bagi tempoh 2016-2020, sudahpun dilaksanakan secara berperingkat.

“Saya telah meluluskan peruntukan untuk membesarkan Lapangan Terbang Langkawi dan saya juga telah berusaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi penerbangan terus ke Langkawi,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata usaha untuk menarik lebih banyak lagi hotel bertaraf antarabangsa beroperasi di Langkawi giat dijalankan sebagai strategi menarik lebih ramai pelancong berpendapatan tinggi ke pulau ini.

Wakil Cina

Fokus turut diberikan untuk melaksanakan projek-projek asas untuk rakyat seperti penambahbaikan sistem bekalan air dan pembinaan perumahan rakyat, kata perdana menteri.

“Walaupun saya bukan berasal dari Kedah tetapi saya tetap memberikan pertimbangan yang adil dan sebaiknya untuk pulau Langkawi dan Kedah secara keseluruhannya,” kata beliau.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk melantik seorang wakil dari kalangan komuniti Cina Langkawi menjadi anggota Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, ADUN Kuah Norsaidi Nanyan dan Penasihat Persatuan Peniaga Cina Langkawi Datuk Chen Lai Ping turut hadir pada majlis itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS