Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setin sardin hanya 20 sen di Jualan Sentuhan Rakyat

Bayangkan satu tin kecil sardin hanya dijual dengan harga 20 sen manakala barangan keperluan lain boleh diperoleh dengan harga lebih murah berbanding harga biasa di kedai dan pasar raya.

Semua itu hanya boleh diperoleh pada Program Jualan Sentuhan Rakyat yang sedang diadakan di seluruh negara dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Oleh itu tidak hairanlah ia mendapat sambutan hangat dan orang ramai sanggup datang seawal dua jam sebelum jualan dibuka. Kesemua barang habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

Rata-rata pengunjung ketika ditemui Bernama di beberapa kawasan program jualan itu di Pulau Pinang melahirkan rasa puas hati dan memuji usaha kerajaan persekutuan itu serta berharap program seumpama itu diteruskan.

Antara mereka ialah Yasin Sultan Mydin, 49, seorang pemandu teksi yang menganggap program jualan itu sangat membantu meringankan beban rakyat.

"Sangat bagus program sebegini. Semua barang keperluan dapur yang memang perlu dibeli setiap bulan ada di sini dan dijual dengan harga murah," katanya.

Suri rumah, Bibi Abdul Kadir, 68, juga bersyukur dengan adanya program itu yang dilihat amat mengurangkan bebanan dihadapi rakyat dalam berbelanja.

"Harga memang murah, sangat berpatutan. Bagi mereka yang susah, insya-Allah dapat juga membeli, kita lihat harganya memang jauh lebih murah daripada di pasar raya. Saya harap ia akan diperluaskan agar semua rakyat negara ini dapat membeli barangan keperluan pada harga murah,” katanya.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi program sentuhan rakyat itu di negeri ini mendapati rata-rata barangan keperluan yang dijual adalah lebih murah iaitu kurang antara RM1 dan RM5 berbanding harga di pasar raya dan kedai runcit biasa.

Antara barangan itu ialah susu krim pekat manis dijual dengan harga RM1.50 setin berbanding harga biasa RM2.60 manakala lampin pakai buang RM28.90 (kedai biasa antara RM33 dan RM35).

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata program Jualan Sentuhan Rakyat itu bertujuan membantu rakyat dalam mengurangkan kos sara hidup dalam membeli barangan keperluan harian.

"Kami sentiasa memperhalusi sepanjang masa bagaimana hendak membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup. Kami di Pulau Pinang mengadakan program itu di setiap kawasan Parlimen. Ada Parlimen yang dibuat sekali dalam sebulan ada yang dua kali sebulan,” katanya.

Zainal Abidin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang berkata subsidi sebanyak RM47,300 diberikan untuk satu program jualan meliputi 30 item barangan utama antaranya ikan, sayur, telur dan tepung. Program ini turut dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, serta beberapa pasar raya.

"Setakat ini, kami sudah melaksanakan lapan program jualan dan kami dapati dalam tempoh dua jam sahaja barang-barang sudah habis kerana ia murah dan dapat mengurangkan kos barangan keperluan harian rakyat Pulau Pinang dan ia juga menguntungkan rakyat," katanya.

Zainal Abidin berkata program itu akan diteruskan pada bulan Mac, April, Mei dan Jun ini. -Bernama

 

Lihat Komen
ADS