Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah Ijok: 'Isu pokok kenapa selesai luar mahkamah'
Diterbitkan:  Feb 17, 2018 11:40 AM
Dikemaskini: 5:27 AM

Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Strategik Komunikasi pejabatnya, Yin Shao Loong gagal menjelaskan isu pokok berhubung isu tanah di Ijok.

Pegawai Khas kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata isu pokok berkenaan adalah mengapa kerajaan negeri membuat persetujuan luar mahkamah dalam kes rayuan membabitkan tanah berkenaan sebelum ia dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Faekah Husin dalam satu kenyataan media dipetik Berita Harian berkata , pada hakikatnya tanah terbabit sudah dirampas oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Khalid pada 2009.

Faekah mendakwa, kedua-dua syarikat pemaju berkenaan bukan sahaja melanggar pelbagai undang-undang tanah, malah gagal meneruskan projek perumahan seperti dijanjikan kepada peneroka dan pembeli rumah.

"Lebih teruk, mereka juga mencagarkan tanah itu bagi mendapat pinjaman ratusan juta ringgit.

"Dengan rekod begitu buruk, kerajaan negeri (sekarang) tidak sepatutnya bersetuju membuat penyelesaian luar mahkamah, apatah lagi, keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menyebelahi kerajaan negeri.

"Jika diteliti dokumen penyelesaian luar mahkamah yang sudah tersebar di internet, kerajaan negeri bersetuju menarik balik semua notis rampasan yang bermakna kedua-dua syarikat itu mendapat semula hak ke atas tanah terbabit.

"Kemudian kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat itu menjual tanah-tanah berkenaan kepada pihak ketiga, sekali gus turut bergembira apabila syarikat yang telah mengkhianati peneroka dan pembeli rumah ini mendapat keuntungan besar," katanya.

Kelmarin, Yin dalam satu kenyataan berkata Azmin telah menyelesaikan masalah peneroka tanah terbabit hanya dalam tempoh empat tahun.

Katanya, setiap peneroka terbabit mendapat pampasan sebanyak RM180,000 dan rumah yang sekarang bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.

Katanya, meskipun tanah itu diberi kebenaran untuk dirampas dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun kerajaan negeri perlu membayar pampasan sehingga ratusan juta ringgit kepada dua syarikat dan bank yang memberi pinjaman kepada mereka.

"Ia menunjukkan tindakan bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berisiko tinggi terhadap perbendaharaan negeri," kata Yin.

Katanya, masalah yang diwarisi kepada Azmin itu telah dapat diselesaikan dengan menjual tanah berkenaan kepada pemaju dengan harga RM1.18 bilion dan membolehkan peneroka memperoleh pampasan dan rumah kediaman.

Bukankah ini 'bailout?'

Di pihak Faekah pula, beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI), mempersoalkan jasa kedua-dua syarikat itu yang menyebabkan kerajaan negeri menyelamatkan mereka daripada dikenakan tindakan daripada pihak bank.

"Bukankah ini salah satu bentuk "bailout" namanya?

"Menteri Besar kononnya mengatakan ini untuk menyelesaikan masalah peneroka tapi untuk makluman, kerajaan Pakatan Rakyat (bukan Pakatan Harapan) sudah menyelesaikan sebahagian besar masalah yang dibuat oleh kedua-dua syarikat itu, iaitu projek terbengkalai Taman Alam Perdana," jelasnya.

Menurut Faekah pada 2012,  Abdul Khalid telah menyerahkan 684 kunci rumah kepada peneroka dan pembeli rumah Taman Alam Perdana.

"Semua dilakukan tanpa menggadai tanah kepada syarikat yang gagal mengotakan janji kepada peneroka, pembeli rumah dan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Faekah turut membidas Yin kerana mengutuk perbuatan kerajaan terdahulu yang dikatakan memberi tanah kepada kroni, tetapi kroni yang samalah yang dibantu oleh kerajaan negeri hari ini.

"Inilah yang dikatakan telunjuk lurus kelingking berkait, " katanya lagi.

Lihat Komen
ADS