Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Israel demo, desak Netanyahu letak jawatan
Diterbitkan:  Feb 17, 2018 12:48 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

GLOBAL |  Para penunjuk perasaan berkumpul di Tel Aviv pada Jumaat mendesak Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meletak jawatan selepas pihak polis negara itu mencadangkan dua pertuduhan rasuah, lapor Reuters.

Selasa lalu, jurucakap pihak polis Israel berkata memiliki bukti yang cukup untuk mendakwa perdana menteri empat penggal itu.

Nentanyahu, 68, menafikan sebarang salah laku. Sekarang terserah kepada pejabat peguam negara itu untuk mendakwa beliau di mahkamah yang dijangkakan memakan masa beberapa bulan.

Tiada undang-undang di negara itu yang mempertanggungjawabkan perdana menteri untuk meletak jawatan atas kes siasatan polis kecuali dibuktikan bersalah di mahkamah.

Reuters juga melaporkan kes pertama yang disyaki melibatkan Netanyahu berkaitan menerima hadiah, termasuklah cerutu, champagne dan barangan kemas dari ahli perniagaan.

Netanyahu, perdana menteri sejak 2009, disiasat polis atas dakwaan menerima hadiah bernilai AS$283,000 dari saudagar Hollywood Arnon Milchan dan para penyokong beliau.

Manakala kes kedua pula melibatkan rundingan dengan penerbit akhbar paling laris di Israel, Yediot Aharonot, yang membincangkan untuk mendapat liputan yang lebih baik dengan timbal balik kerajaan akan menekan akhbar pesaingnya, lapor agensi itu lagi.

Israel telah menyaksikan beberapa pemimpin negara itu disiasat polis dan terlibat dalam kes di mahkamah. Yitzhak Rabin, Ehud Barak dan Ariel Sharon antara yang pernah disiasat dan didakwa pihak berkuasa negara itu.

Tahun lalu, Ehud Olmert, perdana menteri dari 2006 ke 2009 dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman penjara 19 bulan berhubung berbagai dakwaan rasuah.


 

Lihat Komen
ADS