Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 250,000 pelancong China semasa Tahun Baru Cina

Dijangkakan lebih 250,000 pelancong China melawat Malaysia sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina kali ini berbanding hampir 200,000 sewaktu perayaan itu tahun lepas.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata pihaknya yakin akan kedatangan pelancong China yang lebih ramai memandangkan Kedutaan Malaysia di China telah mengeluarkan 327,000 visa bagi perjalanan bermula semalam sehingga sambutan Chap Goh Meh pada awal Mac.

"Ini merupakan perkembangan yang sangat positif memandangkan hanya 193,000 visa dikeluarkan bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas program Persembahan Tarian Singa di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya selain hubungan rapat di antara kerajaan Malaysia dan China, turut menyumbang kepada penambahan bilangan pelancong dari negara itu adalah peranan yang dimainkan oleh lebih 4,000 pemandu pelancong berbahasa Mandarin yang berdaftar di negara ini.

Untuk itu katanya, MITA sedang berusaha untuk menambah bilangan lesen sementara bagi pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin.

Selain itu MITA juga banyak mengadakan aktiviti promosi di China setiap tahun, katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS