Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM umum peruntukan RM1.3 bilion pembangunan Langkawi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.315 bilion untuk lima projek baharu kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Langkawi.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, kuarters baharu petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baharu di Padang Matsirat (RM30 juta), menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang- Pulapol Langkawi (RM50 juta) dan projek mengatasi masalah bekalan air (RM600 juta).

“Hospital Langkawi buat masa ini hanya dapat menampung 110 katil pesakit manakala kadar penggunaan katil hampir mencecah 90 peratus. Oleh itu, projek bangunan tambahan Hospital Langkawi telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga RMK-11,” kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa berucap merasmikan ‘Program I Am Usahawan GO 4.0’ iaitu program kesedaran keusahawanan Revolusi Industri 4.0 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Langkawi.

Beliau berkata bangunan tambahan Hospital Langkawi antara lain akan dilengkapi 220 katil, wad unit rawatan rapi dan wad koronari selain menambah bilangan perkhidmatan dan 10 bidang kepakaran yang sedia ada.

Najib berkata projek itu juga akan menyediakan kemudahan untuk pesakit bayar penuh bagi memenuhi permintaan pelancongan kesihatan di Langkawi, yang masih belum mempunyai hospital swasta.

Parti kuat di belakang

Perdana Menteri berkata projek mengatasi masalah bekalan air di Langkawi, yang menerima peruntukan terbesar di antara kelima-lima projek itu, dilaksanakan untuk menangani keperluan bekalan air bersih dalam jangka panjang.

Beliau berkata pada masa ini, kapasiti kemudahan pengeluaran air di Langkawi sudah mencapai tahap maksimum iaitu sebanyak 89.4 juta liter sehari dan projek yang melibatkan pembinaan ‘Off-River Storage’ di Padang Matsirat dapat memastikan bekalan air tambahan sebanyak 124.48 juta liter sehari yang cukup untuk menampung keperluan sehingga 2040.

“Pelaksanaan projek ini telah bermula awal tahun ini dan dijangka siap pada 2022,” kata beliau sambil memberitahu projek itu dapat mengakhiri keluh-kesah rakyat di pulau itu.

Beliau berkata kesemua projek itu adalah bukti komitmen berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk menjaga kebajikan rakyat di Langkawi.

Perdana menteri berkata rakyat juga tidak boleh meneruskan kehidupan atas dasar sentimen atau perasaan.

Beliau menegaskan pembangunan dan transformasi untuk menjamin kesejahteraan rakyat memerlukan kerajaan yang kukuh dan bukannya kerana populariti seseorang individu.

“Seseorang individu, sejauh mana dia popular suatu ketika dahulu pun tidak boleh membawa perubahan tanpa ada kekuatan parti di belakangnya,” kata beliau.

Najib berkata sebagai negeri yang tidak mempunyai sumber hasil semulajadi yang cukup, rakyat Kedah tidak harus membiarkan negeri itu kembali ke zaman kelam sewaktu di bawah pemerintahan parti pembangkang.

“Tanpa sokongan kerajaan pusat, kita akan masuk ketika zaman kelam…kita jangan balik ke zaman tersebut tetapi mesti melihat ke hadapan,” kata beliau.

Lihat Komen
ADS