Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai polis China 'mati mengejut' di rumah rakan

Seorang pegawai polis warganegara China ditemui mati di rumah rakannya di Jalan Terubuk 3, Kahang dekat Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata kematian lelaki itu, Wang Weihang, 37, disedari rakannya, seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun, kira-kira jam 2 petang.

"Semasa lelaki tempatan itu berada di rumahnya, dia mendapati rakannya (Wang) masih belum bangun tidur lalu mengetuk pintu bilik dan memanggil rakannya, namun, tiada tindak balas," katanya semasa dihubungi Bernama.

Lelaki tempatan itu kemudian mengintai melalui tingkap dan mendapati Wang terbaring di atas katil.

Sejurus itu, dia bertindak memecahkan pintu bilik berkenaan untuk memberikan bantuan tetapi mendapati Wang sudah meninggal dunia, katanya.

Wang Orang Kena Tuduh di mahkamah

Mohamad berkata selepas itu, lelaki berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kahang.

"Wang merupakan rakan lelaki itu yang dikenalinya hampir tujuh tahun lepas. Lelaki itu memaklumkan bahawa Wang datang ke Malaysia sejak November lalu," katanya.

Lelaki itu memberitahu polis bahawa Wang tidak mempunyai sebarang penyakit, namun, kerap tidur lewat dan pernah tidak tidur langsung.

Siasatan polis juga mendapati Wang, yang menumpang di rumah lelaki berkenaan, merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) di Mahkamah Majistret Kluang mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 12 Disember lepas.

Mahkamah memerintahkan pasport antarabangsa Wang ditahan sementara sehingga kesnya selesai.

Mohamad berkata pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan luaran pada tubuh Wang dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Mayat Wang dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk bedah siasat.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS