Paling Popular
Terkini

ULASAN |  Dulu - beberapa dekad lalu - Pyanhabib dan rakan-rakannya membaca karya di kaki-kaki lima dan di bawah lampu siar kaki. Mula-mula nampak janggal di mata warga Kuala Lumpur - sebab ia tidak dibuat orang.

Masa diperlukan untuk aktiviti itu kemudian dianggap normal perlahan-lahan dan dihargai.

Namun penguat kuasa ada yang tidak senang lalu diusir. Maka penyair dan pengkarya 'jalanan' itu pun berpindah dari depan bangunan Coliseum untuk mencari lokasi baru.

Apabila Central Market (Pasar Seni) dibuka, mereka ke sana pula membaca sajak-sajak di tepi tiang lampu. Ia jadi makin tersusun.

Tidak mudah, tetapi dengan ketekalan yang kadang-kadang sebab tidak ada pilihan, baca puisi itu barulah dihargai selayaknya. Dapatlah masuk hotel.

Bukanlah ia berlaku begitu saja. Ada sebabnya, dan kadang-kadang beralasan yang dibuat-buat.

Di negara ini sesetengah kegiatan kadang-kadang bukan dilaksanakan oleh kerana minat sangat, tetapi berlandaskan motif.

Belajar kukur kelapa

Ada pemimpin kerajaan yang kebetulan meminati seni dan sastera misalnya. Maka juak-juak yang di bawah kemudian perlu menunjukkan minat yang sama untuk dapat diterima masuk ke lingkaran dalaman seseorang pemimpin.

Di negara ini sesuatu itu akan jadi benar-benar bertuah jika perdana menteri atau timbalannya menggemari 'sesuatu' itu. Jika mereka meminati zapin, misalnya, maka percayalah negara ini akan meriah dengan aktiviti zapin-menzapin.

Kalau takdirnya perdana menteri atau timbalannya menggemari aktiviti mengukur kelapa, maka kita boleh untuk tidak terkejut jika ada pertandingan mengukur kelapa peringkat antarabangsa tiba-tiba dianjurkan.

Malah tidak keterlaluan jika ilmu mengukur kelapa dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah menengah, atau mungkin di peringkat universiti.

Bukankah ada universiti yang gigih menganjurkan aktiviti-aktiviti seumpama itu sejak dulu lagi? Mengacau dodol atau membina replika dengan gula-gula, misalnya.

Malangnya pada zaman Pyanhabib (gambar) menjadi penyair tepi jalan, media sosial belum jadi janin pun lagi. Apa yang ada cuma akhbar, radio dan TV. Itu pun media elektronik yang ada pada masa itu hanya beroperasi di Angkasapuri.

Malah suatu ketika dulu memiliki radio atau TV tanpa lesen adalah suatu kesalahan mengikut undang-undang negara!

Justeru hidup adalah penuh dengan kekangan kalau pun tidak kebimbangan. Dan sesetengah kekangan itu cuma wujud oleh bayangan dalam kepala orang yang kebetulan diberi kuasa.

Justeru membaca sajak di dalam bangunan Pasar Seni dilarang.

Tanpa media sosial dan media massa sangat terhad dan hampir bersifat monopoli mutlak, bagaimana untuk melawan atau sekurang-kurangnya mengadu?

Kota raya tanpa wajah sendiri

Untuk mengubah keadaan, tekad semata-mata tidak memadai. Seseorang itu perlu mempunyai keberanian dan lebih ranggi dari biasa. Dan menjadi ranggi melalui seni, sastera dan budaya itu kadang-kadang petanda sifat luar biasa.

Ia pernah ditunjukkan oleh Datuk Dr Noordin Razak ketika beliau menjadi ketua pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Hasil teguran dengan sajak Noordin, tiba-tiba berbondong-bondong orang bercakap mengenai nama-nama bangunan di tengah kota raya yang tidak menggambarkan semangat Malaysia sebenar.

Kuala Lumpur menjadi meriah dengan nama-nama lebih bersifat tempatan untuk seketika. Kemudian selepas Noordin meninggalkan DBKL, kota raya kita menjadi apa yang sedang kita saksikan hari ini.

Selepas beberapa dekad media sosial pun matanglah. Ada banyak saluran untuk menyampaikan maklumat. Sahih atau tidak, ia perkara kedua. Perkara pertama ialah maklumat boleh disalurkan. Dan biasanya maklumat yang tidak sahih itulah yang lebih sedap di mata (dan jari) kita.

Dalam keadaan itulah Pok Ya Cong Codei lahir. Mengapa cong codei? Sebab - ah, sama macam asal-usul drama pentas komedi Syyy! - kita pantang menyebutkannya.

Cuma beza Pok Ya dan dilema penduduk Kampung Seri Wangi ialah, satu tidak disenangi sebuah syarikat korporat dan satu lagi kerana 'tabu' yang diciptakan oleh masyarakat setempat.

Di sebalik berjayanya telefilem Pok Ya Cong Codei, kita sepatutnya kecewa oleh kekangan kreativiti tidak bertulis - dan dibenarkan oleh masyarakat - sehingga sebuah karya yang menarik dan segar sebegitu dicacatkan oleh suatu 'pantang'.

Kalau mengikut bahasa sesetengah orang kiri, Pok Ya Cong Codei terpaksa tunduk kepada kuasa kapitalis.

Dan mengikut tafsiran biasa, itulah nasib seorang gedebe yang terpaksa tunduk kepada kehendak pasaran yang tidak ada belas kasihan serta sensitif terlampau.

Tanpa media sosial atau saluran alternatif, asal-usul nama gelar Pok Ya itu tidak akan diketahui atau bakal menjadi mitos yang menyesatkan.

Sejak sekian lama kita menjadi teramat sensitif. Lucunya sensitif itu selalu sangat tidak bertempat.

Dan lebih lucu, pada masa sama kita bercakap berdegar-degar bahawa masyarakat yang ada kini sudah maju, matang dan - OK-lah, mungkin - sejahtera.

Ada lebih malang

Apakah yang boleh menjelaskan ketakutan kita kepada gambar seekor anjing pada waktu sekarang?

Bukankah itu juga suatu sikap sensitif yang melampau, sesat dan menyesatkan?

Seolah-olah kita melupakan bahawa suatu ketika dulu sebuah tempat dibuka untuk menjadi negeri yang makmur gara-gara peristiwa yang berkaitan dengan anjing Parameswara?

Anjing juga pernah menjadi asbab seseorang mendapat keampunan selepas dia memberi minum haiwan yang 'tabu' pada budaya Melayu hari ini.

Biarkan dulu perbincangan tentang hukum menyentuh anjing kerana kita pun bimbang juga dituduh Wahabi atau muktazilah - misalnya - padahal apa yang lebih jijik daripada gambar anjing itu ialah perbuatan menjilat ego seorang ketua kampung, pengerusi JKKK, ketua bahagian parti politik atau wakil rakyat.

Satu lagi kekejian sifat anjing yang sepatutnya dipandang jijik ialah menggoyang-goyangkan ekor semata-mata teruja diberi habuan selepas berjaya mengampu seorang ketua.

Malanglah anjing di negara ini, setidak-tidaknya buat waktu ini.

Tapi tahukan anda ada yang lebih malang daripada anjing itu? Ada. Kita yang terpaksa bergelut untuk hidup akibat daripada keputusan-keputusan orang atasan yang 'menganjing'.

Tapi itulah. Nak berharap keadaan segera berubah memang payah. Lihat saja apa yang sedang kita hadapi setiap hari sekarang. Tarikh untuk mengadakan pilihan raya yang menjadi hak kita - rakyat di negara bertuah ini - pun nak dirahsiakan sampai begitu sekali!


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS