Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat lebih mementingkan diri dan politik berbanding ke­pentingan rakyat apabila memutuskan untuk menyelesaikan isu tanah di Ijok di luar mahkamah, kata Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Satim Diman.

Malah sikap peduli rakyat yang seringkali dipamerkan Timbalan Presiden PKR itu disifatkan Satim sebagai pembohong besar.

“Dia pentingkan perut dia daripada rakyat, cakap saja peduli rakyat tapi pada saya pembohong besar.

“Dia yang untung, rakyat sengsara kemudian dia kata ini masalah kerajaan BN,” katanya kepada pemberita pada program Jelajah Kasih Negeriku Selangor di Ladang Fermanagh, Sg Pelek, Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Azmin menyerahkan semula tanah bernilai tinggi di Ijok, Selangor kepada 2 syarikat.

Baru-baru ini, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan keputusan Azmin menyerahkan semula tanah bernilai tinggi di Ijok dengan jumlah RM1.8 bilion.

Menurut Rahman, tanah tersebut dirampas oleh pentadbiran Selangor lalu kerana pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Rahman berkata keputusan Azmin menghairankan kerana Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada tindakan kerajaan negeri merampas tanah tersebut. Menurut beliau, kes dibatalkan ketika ia di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Mengulas lanjut Satim mempersoalkan tindakan Anggota Parlimen Gombak itu yang dilihat gagal membela sepenuhnya nasib peneroka di Ijok.

“Sepatutnya kalau dia nak selesaikan masalah dia boleh bagi kepada dua syarikat itu pada harga pasaran kenapa peneroka juga tidak mendapat nilai pada harga pasaran juga untuk pampasan mereka,” katanya.

Jelas Satim, tindakan Azmin itu tidak lebih hanya menipu peneroka yang terlibat.

“Ini yang Azmin Ali dah tipu peneroka. Kerajaan Negeri untung dekat RM800 juta, dia hanya selesaikan masalah pampasan pada tahun 2000 dengan harga RM420 juta. Kemana baki RM800 juta?

“Kalau dia betul-betul prihatin kepada rakyat harga pampasan kepada peneroka juga mesti mengikut harga pasaran. Kenapa dia tak ikut harga pasaran? Soal Satim.

“Ini yang rakyat negeri Selangor kena fikir soal kepimpinan menteri besar Pakatan Harapan di Selangor,” katanya.

Tambah Satim, BN Selangor juga minggu depan akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat perkara tersebut.

“Kita akan membuat laporan kepada SPRM minggu depan dan akan menghantar beberapa dokumen juga berhubung tanda tanya peneroka mengenai baki RM800 juta itu,” katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS