Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri gesa KDN, SKMM ambil tindakan tegas terhadap Namewee

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan tegas terhadap Wee Meng Chee atau Namewee berikutan tindakannya memuat naik video bertajuk ‘Like A Dog’ di media sosial baru-baru ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata video itu memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing dengan aksi tarian lucah berdekatan bangunan Perdana Putra dan Masjid Putrajaya di Putrajaya.

Beliau berkata perbuatan Namewee dikhuatiri menimbulkan ketegangan kaum dan merosakkan keharmonian di negara ini.

“Dia sudah melampau, sekali dua mungkin kita boleh maafkan tetapi saya anggap tindakan (beliau) kali ini adalah yang paling biadap. Dia cuba membuat provokasi yang melampau terhadap umat Islam.

“…menari depan masjid, bagi saya, dia mencabar kita sebagai umat Islam di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dan kenduri kampung di perkarangan Surau Kampung Paya Mengkuang Ladang di Bera, hari ini.

Ismail Sabri berkata Namewee seperti sengaja mencabar pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadapnya apabila memuat naik video seperti itu.

“Kita ada undang-undang dan kita tidak boleh biarkan perkara ini...kalau dibiarkan, dia mungkin buat lebih teruk lagi,” katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS