Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN digesa ketengah calon muda
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 12:40 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat memerlukan lebih ramai calon muda berkemampuan bagi mengisi kelompongan yang ada.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, sebelum ini ada pemerhati politik dan pengundi merasakan bahawa calon yang ditampilkan adalah bersifat kitar semula dan sudah bergelumang dalam politik sejak tahun 80-an.

"Mereka perlukan idea baru yang lebih segar dan baru. Pemimpin di bawah usia 40 tahun perlu diketengahkan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Namun, tidaklah peranan pemimpin lama perlu dipinggirkan, pengalaman mereka juga ditagih.

"Pemimpin kitar semula yang dimaksudkan adalah pemimpin yang tidak membawa perubahan dan kekal statik dalam suasana politik kini dimana pengundi dahagakan sesuatu yang baru dan kreatif," katanya kepada Malaysiakini.

Pemimpin yang sudah memasuki era emas menurut beliau, seharusnya lebih banyak memberi panduan dan nasihat serta menyediakan pemimpin pelapis untuk mengambil alih tempat mereka.

"Dinamik politik hari ini adalah satu cabaran getir dalam dunia politik, bagaimana sesebuah parti atau gabungan boleh meyakinkan rakyat tentang urus tadbir yang baik.

"Pembaharuan yang akan dibawa dan visi serta matlamat yang membawa manfaat kepada rakyat. Kita harus akui bahawa gaya politik hari ini bukan lagi seperti era 30 lampau yang mana segalanya terbatas dan dikawal," kata Mohd Sukirman.

Tambah beliau, HARAPAN seharusnya sedar bahawa calon-calon yang dikitar semula ini ketandusan idea dan tiada pembaharuan yang dibawa.

"Seharusnya pemimpin muda yang mempunyai idea yang boleh digarap untuk kepentingan semua pihak ditampilkan dalam arus politik perdana hari ini sebagaimana negara-negara lain amalkan," katanya.

Lihat Komen
ADS