Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kami bantu kesahan pilihan raya, bina kepercayaan umum'

Malaysia adalah antara beberapa negara Asia Tenggara yang tidak begitu mengalu-alukan kumpulan pemerhati pilihan raya antarabangsa ke negara mereka.

Walaupun demikian, ini tidak menghalang kumpulan pemerhati pilihan raya antarabangsa daripada merekrut rakyat Malaysia bagi melaksanakan misi mereka di seluruh dunia.

Salah seorangnya adalah aktivis Adam Adli, yang berpendapat negara seperti Myanmar lebih menghargai bantuan pemerhati pilihan antarabangsa berbanding kerajaan Malaysia.

Adam, yang menyaksikan pilihan raya di Myanmar pada 2015 dan 2017, berkata beliau dan rakan-rakannya berasa dihargai oleh pihak berkuasa negara itu, yang meminta pelaksanaan pilihan raya mereka dinilai secara bebas.

Semasa bertukar-tukar pendapat dengan seorang petugas dari Union Solidarity and Development Party - parti yang dibentuk oleh junta tentera - selepas pilihan raya, Adam berkata, petugas itu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menjadi pemerhati walaupun kalah dalam pilihan raya itu.

Adam adalah antara 45 pemerhati daripada 15 negara yang dipilih oleh Rangkaian Asia Untuk Pilihan Raya Bebas (Anfrel) bagi memerhati pilihan raya umum dan tempatan Myanmar pada tahun 2015, iaitu pilihan raya pertama yang diadakan sejak tahun 1990.

Menurut satu kajian, terdapat kira-kira 10,000 pemerhati tempatan dan antarabangsa pada pilihan raya itu, termasuk pemerhati Carter Center yang berpusat di Atlanta dan Kesatuan Eropah.

Pada tahun 2013,  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa telah menjemput pemerhati "antarabangsa" dari rantau ini. Namun identiti mereka, angka yang tepat dan negara asal mereka tidak diketahui.

Adam juga mengimbas bagaimana pengawal selia pilihan raya Myanmar  memberikan akses penuh kepada mereka - daripada memantau di bilik mengundi hingga turun ke zon konflik.

"Pada tahun 2015, kami boleh bergerak dengan bebas. Tidak ada yang kacau walaupun SB (cawangan khas) mereka mengawasi kami sepanjang masa. Polis rahsia mereka hanya akan mengganggu sumber kami selepas kami pergi, ini kerana kerajaannya sangat paranoid pada tahun 2015.

"Walaupun begitu, mereka menghargai apa yang kami lakukan dan mereka menjemput kami untuk datang semula pada tahun 2017.

"Keadaan jadi lebih baik pada tahun 2017. Kami juga dapat mengakses zon konflik dan mereka melayan pemerhati asing sebagai isu penting malah menjemput kami di TV," kata Adam.

Tidak memihak

Kristina Uy Gadaingan, yang telah memantau pilihan raya di lapan negara, berkata pemerhati pilihan raya antarabangsa berasa dihargai kerana matlamat mereka adalah untuk membantu kesahihan sesuatu pilihan raya.

"Kami dapat menilai pilihan raya secara objektif kerana kami adalah orang luar dan kesimpulan yang kami buat membantu kesahihan keputusan pilihan raya atau menunjukkan kelemahannya.

"Kami hanya mahu membantu mereka (badan pilihan raya). Kami berada di sini untuk menyokong sebab yang sama iaitu pilihan raya yang bebas dan adil,"jelasnya.

Gadaingan, yang berasal dari Filipina menjelaskan kehadiran pemerhati antarabangsa akan memaksa negara-negara tuan rumah melakukan yang terbaik untuk memastikan pilihan raya dijalankan secara adil.

Ini seterusnya akan membantu parti-parti politik yang bertanding untuk menerima keputusan dan meminimumkan konflik pasca pilihan raya, jelasnya.

Satu lagi fungsi utama pemerhati adalah untuk mengemukakan syor mengenai bagaimana untuk memperbaiki sesuatu pilihan raya.

"Setelah kami melihat pilihan raya presiden 2015 di Sri Lanka, kami memberikan cadangan kepada badan pilihan raya di sana mengenai (bagaimana mengurus) pembiayaan kempen. Suruhanjaya itu menerima komen kami secara konstruktif.

"Dalam pilihan raya parlimen pada akhir tahun itu (pada bulan Ogos), mereka mengendalikan lebih banyak pembiayaan kempen," katanya.

Bina kepercayaan

Tadzrul Adha yang telah menjadi pemerhati pilihan raya antarabangsa dan menjadikannya sebagai kerjaya dalam tempoh 10 tahun yang lalu, berkata pemerhati antarabangsa berusaha membina kepercayaan dalam sesuatu proses pilihan raya.

Antara lain, Tadzrul yang berpengkalan di Malaysia mengikuti misi pemerhati antarabangsa ke Mesir, Sudan, Mozambique dan Timor Leste.

Katanya, kehadiran pemerhati pilihan raya dari negara berbeza merupakan pengalaman yang baik bagi negara-negara tuan rumah untuk meningkatkan kepercayaan pengundi kepada badan pilihan raya mereka.

"Dan banyak faedahnya untuk jangka panjang. Ini mengenai pembinaan negara, tadbir urus yang baik dan menjadikan demokrasi lebih matang," katanya kepada Malaysiakini.

Dari pengalamannya, pemerhati pilihan raya dari seluruh dunia juga banyak dibantu oleh tuan rumah.

"Kehadiran kami dijamin oleh kerajaan dan kami mendapat kerjasama penuh dari kerajaan negara tuan rumah," kata Tadzrul.

Mengawasi PRU14

Setakat ini, SPR berjanji menjemput pemerhati pilihan raya domestik dan antarabangsa untuk memantau Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang, namun butirannya masih terhad.

Pada September tahun lepas, pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (gambar) berkata Malaysia hanya akan menjemput pemerhati dari rakan-rakan SPR dari negara-negara jiran dengan dasar timbal balik.

Pengerusi Anfrel, Damaso Magbual bagaimanapun memberi amaran amalan seperti itu memberi ruang kepada amalan subahat, sambil menegaskan usaha serupa pada masa lalu tidak dilakukan secara telus.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pembangkang dari Pakatan Harapan berulang kali menyeru kerajaan menjemput kumpulan pemerhati pilihan raya antarabangsa yang diiktiraf.

Putrajaya belum lagi menjawab secara rasmi terhadap permintaan itu walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan sistem pilihan raya Malaysia tidak membenarkan penipuan.

 

Lihat Komen
ADS