Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rani Kulup ketuai 10 NGO lapor polis terhadap Namewee
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 4:14 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Sepuluh NGO hari ini membuat laporan polis terhadap penyanyi rap kontroversi, Namewee berhubung rakaman video yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam.

Diketuai Presiden Martabat Jalinan Malaysia (MKMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, mereka membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi menggesa siasatan dibuat terhadap Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Menurut Abdul Rani, video berkenaan dirakam dengan tujuan untuk memprovokasi dan menaikkan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Dia nak buat video sempena tahun anjing ke apa tak kisah buatlah tetapi jangan berlatar belakangkan pusat pentadbiran kerajaan seperti Putrajaya dan kediaman pemerintah atau masjid tetapi buatlah dekat tokong dia.

“Kita juga tak kisah dengan apa yang mahu dilakukannya tetapi buatlah gambar (haiwan) yang disukai kaum Cina serta jangan provoke kaum lain,” tegasnya yang seperti biasa tampil dengan pakaian seragam dan memakai baret.

Minggu lepas, Namawee memuat naik klip video bersempena Tahun Baru Cina bertajuk “Like a Dog” yang memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing yang didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang menempatkan pejabat perdana menteri.

Mengulas lanjut laporan polis hari ini Abdul Rani berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis dan agensi berkaitan termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Namewee secepat mungkin.

“Tujuan kami membuat laporan adalah untuk menggesa PDRM, KDN, SKMM, SPRM dan KSU KDN.

“Kenapa saya sebut KSU KDN (sebab mahu beliau) batalkan dokumen perjalanan individu yang bernama Namewee serta mengambil tindakan tegas terhadap beliau kerana perkara yang sama telah banyak kali berlaku tetapi tetap terlepas (dari sebarang tindakan),” katanya.

Tempoh dua hari serah diri

Sementara itu Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata pihaknya memberi tempoh dua hari kepada Namewee untuk menyerah diri kepada polis selain mempersoalkan tindakan biadap pemuzik itu.

“Kita beri amaran kepada Namewee, jangan kurang ajar, hormat agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kita juga beri dia tempoh dua hari untuk tampil ke muka pengadilan.

“Apa tujuan dia buat macam ini? Kalau untuk Tahun Baru Cina buatlah dengan cara yang betul bukan gunakan anjing dan berkelakuan lucah serta duduk di kawasan Putrajaya dan masjid.

“Kita cabar serah diri kepada polis dan buat kenyataan mohon maaf,” katanya.

Bagaimana Abdul Rani sempat mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak bertindak sendirian sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam dilapor berkata polis telah membuka kertas siasatan terhadap penyanyi rap tersebut.

Mohamad Fuzi berkata polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat klip video kontroversi berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS