Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Imbasan Mykad rawak di lapangan terbang Sabah'

Jabatan Imigresen diarah melakukan imbasan kad pengenalan secara rawak di pintu keluar masuk udara di Sabah bagi menghalang mana-mana pihak berlepas ke Semenanjung dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk menambah penempatan pegawai Imigresen di lapangan terbang di Sabah bagi tujuan itu.

Menurutnya, melalui tindakan seperti itu, pihak berkuasa dapat mengesan lebih awal sama ada kad pengenalan yang digunakan oleh seseorang itu asli atau sebaliknya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen telah mengambil beberapa langkah keselamatan terutama di pintu keluar masuk udara bagi mencegah ancaman keselamatan.

“Kita di Semenanjung, kita perlu perlihatkan kad pengenalan untuk ke Sabah dan Sarawak. Jadi kaedah ini diguna pakai sebenarnya di pintu keluar udara (di Sabah),” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai kemungkinan anggota ISIS dan DAESH menggunakan Sabah untuk mendapatkan kad pengenalan palsu sebelum menyusup masuk ke Semenanjung.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain.

Menurut Ahmad Zahid, selain penguatkuasaan di lapangan terbang, pihak kerajaan sebelum ini juga telah mengambil beberapa tindakan dan langkah tertentu bagi memastikan pemegang kad pengenalan palsu tidak terlepas daripada tindakan JPN dan Jabatan Imigresen.

Antara langkah berkenaan, katanya, termasuk membuka kertas siasatan terhadap beberapa sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri susulan beberapa tangkapan telah dibuat oleh JPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan melalui sebuah unit penguatkuasaan di JPN dengan kolaborasi PDRM.

Mengenai mengapa Sabah menjadi tumpuan untuk mendapatkan kad pengenalan palsu, Ahmad Zahid berkata: "Sebab sindiket, kerana kemasukan pekerja-pekerja asing dan tenaga buruh dari negara jiran yang cukup dekat menyebabkan perkara ini berlaku”.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa tidak akan melepaskan sindiket dan pemegang kad pengenalan palsu berkenaan daripada tindakan undang-undang kerana penguatkuasaan dilaksanakan setiap waktu.

“Tidak ada hari tanpa penguatkuasaan. (Bagi) Jabatan Imigresen ‘tidak ada hari tanpa operasi’. Ini tagline kita,” tegasnya.


-Bernama

Lihat Komen
ADS