Kemudahan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menunaikan haji untuk menampung perbelanjaan asas menunaikan ibadat itu dan bukan bagi membiayai keseluruhan kos.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, organisasi keselamatan sosial itu juga hanya membenarkan pengeluaran dilakukan pencarum yang berumur kurang 55 tahun menerusi simpanan akaun 2, lapor Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, pencarum perlu menerima surat jawapan berstatus ‘terpilih’ daripada Lembaga Tabung Haji sebelum layak untuk mengeluarkan simpanan.
“Dalam masa sama, ia tertakluk kepada perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan Akaun Tabung Haji pencarum pada jumlah maksimum RM3,000 atau baki akaun 2 (mengikut mana-mana yang terendah).
“Syarat-syarat ini diperketatkan kerana tanggungjawab KWSP adalah menyediakan perlindungan persaraan dalam bentuk simpanan wajib kepada pencarum atau ahlinya,” beliau dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Muhamad Mustafa sama ada pencarum boleh menggunakan simpanan KWSP masing-masing untuk mengerjakan ibadah haji, dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, semalam.
