Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri gesa Kelantan, Ku Li bincang dengan Orang Asli
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 11:17 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Kerajaan pusat mencadangkan kerajaan negeri dan anggota parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut berbincang bersama Orang Asli susulan sekatan terbaru terhadap kegiatan pembalakan, perladangan dan penanaman durian 'Musang King'.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu berkata perbincangan itu bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang berlanjutan di kawasan itu.

“Apa yang penting ialah mencari jalan penyelesaian agar semua pihak berpuas hati dan agensi penguatkuasaan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan lancar,” katanya.



Esok Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan mengadakan mesyuarat dalaman bagi meninjau situasi dan menggariskan tindakan segera yang akan diambil.

“Timbalan Ketua Pengarah JAKOA akan hadir dalam mesyuarat ini,” katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan sebanyak tiga sekatan dibuat di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan sejak Khamis lalu sebagai bantahan terhadap penerokaan hutan serta tanah adat Orang Asli bagi tujuan pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian 'Musang King'.

Sekatan aktivis Orang Asli tempatan itu dibina di Chawas, Gua Cha dan Pos Gob di hutan simpan tersebut.

Wan Junaidi berkata, sekatan Orang Asli tersebut menunjukkan rasa tidak puas hati segelintir masyarakat tersebut iaitu dari kumpulan JARINGAN.

Mereka mendakwa kerajaan negeri tidak memberi perhatian sewajarnya berkaitan tuntutan pemilikan tanah adat.

Menurut beliau, kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan mengambil beberapa tindakan bagi mengatasi masalah ini.

"Isu ini perlulah dilihat dari pelbagai sudut perundangan agar semua isu yang dibangkitkan oleh Orang Asli ini dapat diselesaikan secara harmoni dan bijaksana.

"Perbincangan akan diadakan bersama Tok Batin dan Persatuan Penghulu Orang Asli Gua Musang bertujuan mendapat maklumat dan input-input yang bermanafaat dalam menangani isu-isu ini," katanya.

Selain itu tambah beliau, mesyuarat dengan semua agensi-agensi penguatkuasaan akan diadakan bagi mencadangkan pendekatan strategi dan tindakan yang perlu diambil ke atas insiden itu dan seterusnya mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan negeri untuk dimuktamadkan.

"Saya ingin mencadangkan agar kerajaan negeri supaya duduk berbincang bersama pemimpin Orang Asli, wakil semua agensi penguatkuasaan persekutuan dan negeri untuk mencari jalan tengah bagi menyelesaikan permasalahan yang telah berlanjutan ini agar ia tidak berulang lagi dan tidak semata-mata mengharapkan agar ianya dapat selesai dengan sendirinya," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan respon daripada kerajaan negeri dan anggota Parlimen Gua Musang berhubungan cadangan tersebut.

Lihat Komen
ADS