Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menafikan dirinya mahu bertanding di Bentong seperti yang didakwa oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Sambil menuduh Liow mahukan "perhatian" dan menggunakannya sebagai umpan, Lim berkata beliau tidak pernah mempertimbangkan langkah sedemikian.

"Saya terkejut selepas drama presiden MCA Wee Ka Siong yang mendakwa kemungkinan setiausaha agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertanding menentangnya di Ayer Hitam, Presiden MCA, Liow Tiong Lai pula mahukan perhatian dan berkata saya akan menentangnya di Bentong pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"Bolehkah Liow tunjukkan bila dan di mana saya berkata kemungkinan saya akan bertanding di Bentong pada PRU-14?

“Seperti Wee dalam kes Guan Eng, adakah Liow (memutuskan) mahu menggunakan saya untuk mempromosikan dirinya?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Wee menafikan bahawa beliau berkata Guan Eng mahu berdepan dengannya dan mendakwa dirinya disalah tafsir dalam sebuah wawancara dengan akhbar Cina, China Press dan akhbar Inggeris milik MCA, The Star. Kedua-dua akhbar berkenaan telah membuat permohonan maaf.

Liow adalah ahli parlimen Bentong selama empat penggal. Semalam, beliau dilaporkan berkata dirinya ttidak gentar dengan cabaran Lim dan yakin dapat mengekalkan sokongan pengundinya.

Lim mempertikaikan kenyataan itu dan merujuk kepada kejatuhan mendadak undi majoriti yang diperolehi Liow pada pilihan raya sebelumnya.

"Keputusan pilihan raya Liow di Bentong adalah menarik.

"Pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, Liow memenangi Bentong dengan majoriti undi lima angka - majoriti 10,715 undi pada tahun 1999; 16,839 pada tahun 2004 dan 12,549 pada tahun 2008.

"Bagaimanapun, pada pilihan raya umum 2013, ketika berdepan calon DAP, Wong Tack, Liow bernasib baik kerana menang dengan majoriti 379 undi," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Lim juga memperlekehkan MCA yang gagal menarik sokongan daripada pengundi Cina.

Menang di kerusi Melayu

Katanya, pada pilihan raya umum lalu, pemimpin tertinggi MCA menang di kawasan pilihan raya yang mempunyai lebih ramai pengundi Melayu berbanding Cina termasuk kemenangan Liow di Bentong, kemenangan Wee di Ayer Hitam dan kemenangan setiausaha agong MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan di Tanjong Malim.

"Adakah MCA mewakili kaum Cina dalam BN?

"Atau adakah menteri dan pemimpin MCA mewakili Umno bagi masyarakat Cina di Malaysia?" soal Lim.

Pilihan raya umum 2013 yang lalu menyaksikan prestasi paling buruk buat MCA, dengan parti itu hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi negeri.