Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Badutkan' Najib: Fahmi Reza dihukum penjara 1 bulan, denda RM30k
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 1:15 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman bersalah ke atas seorang pereka grafik yang kerana memuat naik gambar aib Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tujuan menyakitkan hati orang lain, dalam akaun Facebooknya dua tahun lalu.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 1 bulan dan denda RM30,000 ke atas Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, kerana posting karya satira badut di Facebook bersama logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tertuduh didakwa menggunakan akaun Facebook 'Fahmi Reza' di suatu pautan secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi (bawah) yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 8 Feb 2016.

Pautan itu kemudian didakwa dibaca di sebuah alamat di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang, di Ipoh, pada 2.40 petang, tarikh yang sama.

Mohd Fahmi Reza didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguamnya, Syahredzan Johan memberitahu Malaysiakini, bahawa mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu, dan penangguhan hukuman itu dibenarkan dengan jaminan bon RM10,000.

Syahredzan berkata hakim Norashima Khalid tidak memberikan alasan berhubung keputusannya, kecuali berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.

Lihat Komen
ADS