Walaupun paras rupa calon dianggap penting untuk menarik undi pada pilihan raya, namun apa yang lebih utama ialah tawaran yang diberikan sesebuah parti politik demi masa depan golongan muda berbanding kecantikan luaran semata-mata.

Bagi Anggota Jawatankuasa Sosialis Muda DAP (Dapsy), Dyana Sofya Mohd Daud, pengundi terutamanya golongan muda tidak mudah untuk memberi undi mereka walaupun 'disajikan' dengan calon yang menarik selagi tidak tahu apa yang parti politik tawarkan.

Justeru,katanya, selain paras rupa, tawaran serta calon yang terdiri daripada golongan muda amat penting bagi menyuarakan hasrat mereka sama ada di peringkat parlimen mahupun negeri.

"Saya rasa pengundi muda sekarang ini tak mudah untuk buat keputusan. Nanti mereka akan tanya balik apa polisi (parti) dan sebagainya. Kita kena kaitkan diri dengan orang muda.

"Sangat penting untuk anak muda diwakilkan di parlimen dan di negeri, kalau tidak, apa yang mereka mahu tak dapat disampaikan.

"Rupa bukan utama tapi (yang utama) apa yang mampu ditawarkan (sesebuah parti politik) itu akan menarik hati orang muda atau tidak," katanya dipetik dalam temubual bersama Sinar Online hari ini.

Macam magnet

Exco Puteri Umno Dira Abu Zahar atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar pula berkata, beliau bersependapat dengan Dyana dan menganggap calon yang mempunyai paras rupa menawan hanya menjadi daya penarik bagi parti.

"Perlu letak calon dari anak muda yang dapat menarik perhatian supaya anak muda boleh pandang, tengok (calon) itu sama ada boleh geng dengan mereka atau tidak. (Calon ada paras rupa) ini macam magnet.

"Faktor tarikan itu penting tapi dalam masa yang sama apakah tawaran yang nak diberi pada anak muda," katanya.

Selain itu, ditanya sama ada mereka mempunyai personaliti yang cantik dan bergaya untuk menarik undi sekiranya menjadi calon, masing-masing berpendapat apa yang lebih penting ialah matlamat yang dibawa.

"Sekiranya diberi peluang (menjadi calon pilihan raya) mengapa tidak. Saya percaya ini platform dan peluang terbaik untuk beri penghargaan semula kepada mereka yang mempercayai arwah bapa saya dan saya anggap ini sebagai kesinambungan untuk memperjuangkan serta memperkasakan rakyat Malaysia dan bangsa Melayu," kata Dira.

Bagi Dyana pula, beliau bersedia untuk berbakti kepada rakyat dan parti tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan dan akar umbi sama ada beliau wajar menjadi calon atau sebaliknya.

"Bagi saya sama ada saya lengkap atau tidak bukan saya yang menilai tetapi tertakluk pada pucuk pimpinan dan akar umbi sama ada mereka nak atau tidak.

"Ya saya nak memberi sumbangan kepada rakyat, parti. Tapi itu semua saya serahkan pada pucuk pimpinan dan ahli akar umbi, mereka yang akan buat keputusan," katanya lagi.