Pengimbasan kad pengenalan secara rawak perlu dilakukan di seluruh negara dan bukan hanya di pintu masuk dan keluar, kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun.
Beliau berkata ini kerana terdapat banyak kes kad pengenalan Malaysia yang diragui digunakan oleh rakyat asing untuk mendakwa diri mereka sebagai warga Malaysia.
Mositon yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata kes terbaharu berlaku di Johor melibatkan 20 warga Filipina yang ditahan kerana menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan milik orang lain.
“Tetapi ada juga kes-kes penjenayah di Kuala Lumpur yang ditangkap kerana memiliki kad pengenalan Malaysia yang juga diragui. Itulah sebabnya Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu menjalankan pemeriksaan secara rawak di tempat-tempat ini.
“Media juga melaporkan bahawa beberapa orang yang menggunakan kad pengenalan Malaysia yang diragui juga telah mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan. Kita perlu memastikan ini tidak berlaku lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Mositun berkata demikian bagi mengulas jaminan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa langkah-langkah telah diambil untuk mengesan pemegang kad pengenalan palsu di semua pintu masuk dan keluar negara terutama di lapangan terbang.
Semasa melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Isnin, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara menempatkan pegawai mereka di semua pintu masuk dan keluar untuk menjalankan pengimbasan kad pengenalan secara rawak untuk mengesan sama ada kad pengenalan yang digunakan oleh seseorang itu asli atau sebaliknya. -Bernama
