Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis terima 16 laporan libatkan 2 koperasi pembangunan hartanah
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 6:20 AM
Dikemaskini: 10:25 PM

Polis menerima 16 laporan melibatkan dua koperasi pembangunan hartanah yang berpusat di Subang Jaya, Selangor yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dengan nilai kerugian berjumlah RM13.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata pihaknya menerima laporan mengenai penipuan yang menawarkan projek pembinaan rumah mampu milik yang tidak wujud dan menyiasat seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang ditahan pada 7 Feb lepas, sejak 2014.

“Dalam kes ini, suspek berusia 52 tahun itu merupakan ketua pegawai eksekutif dalam koperasi yang pertama dan sebagai pengerusi dalam koperasi yang kedua.

“Suspek mendakwa telah dilantik sebagai ejen kepada kedua-kedua koperasi berkenaan untuk mendapatkan kontraktor yang berminat bagi projek pembinaan perumahan mampu milik di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata suspek menawarkan projek pembinaan di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor bagi koperasi pertama dan menawarkan projek di Melaka, Kedah dan Perak untuk koperasi kedua.

Katanya modus operandinya ialah menawarkan lantikan sebagai kontraktor kepada syarikat mangsa yang berminat bagi membina rumah mampu milik di seluruh negara.

Suspek juga akan membawa mangsa melawat tapak lokasi tanah atau pembinaan yang telah dikenal pasti dan mengemukakan beberapa dokumen bagi menunjukkan projek tersebut wujud dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan untuk meyakinkan mangsa.

Amar Singh berkata mangsa yang terpedaya dengan suspek telah membayar wang bon pelaksanaan antara RM300,000 sehingga RM2.3 juta atas nama koperasi berkenaan atas arahan suspek.

“Setelah bayaran dijelaskan, mangsa akan menandatangani perjanjian usaha sama yang disediakan oleh koperasi berkenaan dan dijanjikan kerja-kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh 18 bulan selepas perjanjian ditandatangani.

“Namun, selepas tamat tempoh 18 bulan yang dijanjikan, mangsa tidak mendapat arahan untuk memulakan kerja dan setelah semakan dilakukan, mangsa mendapati projek yang dijanjikan tidak wujud malah tidak pernah diberikan kepada koperasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata suspek kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS