Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rasuah baru kaitkan isteri Netanyahu
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 9:39 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

GLOBAL Polis Israel mendakwa pada hari Selasa bahawa bekas jurucakap Benjamin Netanyahu cuba menyogok seorang hakim untuk menggugurkan kes penipuan terhadap isteri Netanyahu - satu siasatan terbaru berkaitan rasuah yang menyelubungi perdana menteri negara itu.

Kes rasuah baru itu adalah salah satu daripada dua kes yang didedahkan pada hari Selasa yang melibatkan bekas jurucakap yang sama, iaitu orang kepercayaan Netanyahu. Polis juga menamakannya sebagai seseorang yang mereka tahan dua hari lalu dalam satu kes berasingan yang melibatkan tuduhan rasuah di syarikat telekom terbesar Israel.

Pemimpin sayap kanan, yang memegang jawatan selama 12 tahun sejak 1996, menyaksikan dominasinya dalam politik Israel terancam oleh penyiasatan rasuah sejak polis mengesyorkan seminggu lalu supaya dia didakwa atas tuduhan sogokan dan penipuan.

Dia telah menafikan tuduhan salah laku dalam empat siasatan berasingan, termasuk dua di mana dia secara peribadi menjadi suspek.

Dalam kes terbaru, polis berkata bekas jurucakap Netanyahu - Nir Hefetz - telah menawarkan melalui perantara pada tahun 2015 untuk membantu seorang hakim memenangi jawatan peguam negara jika dia bersetuju untuk menggunakan kedudukan itu untuk menyekat sebarang prosiding terhadap isteri Netanyahu, Sara.

Pada bulan September, Peguam Negara Avichai Mandelblit, berkata dia sedang mempertimbangkan untuk mendakwa Sara Netanyahu atas tuduhan penipuan kerana disyaki menggunakan dana negara untuk katering peribadi berjumlah AS$100,000. Dia menafikan tuduhan itu dan keputusan muktamad mengenai tuduhan itu sedang ditunggu.

Perdana menteri menolak dakwaan mengenai percubaan untuk menyogok hakim, dan menganggapnya sebagai satu "halusinasi".

Dalam kes lain yang didedahkan pada hari Selasa, polis berkata mereka telah menahan Hefetz dan seorang lagi orang kepercayaan Netanyahu, Shlomo Filber, atas tuduhan rasuah yang melibatkan syarikat telekom Bezeq.

Pemegang saham utama Bezeq, Shaul Elovitch, juga ditahan, bersama isteri dan anaknya, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bezeq, Stella Handler.

Elovitch adalah rakan keluarga Netanyahu. Tangkapan itu dibuat pada hari Ahad tetapi tidak didedahkan selama dua hari di bawah prosedur standard Israel.

Polis mengesyaki Bezeq menerima manfaat pengawasan sebagai balasan untuk memberikan liputan media yang menguntungkan Netanyahu di Walla, sebuah laman web berita yang dikuasai oleh syarikat induk Elovitch - Eurocom.

Elovitch menafikan sebarang salah laku, dan begitu juga isteri dan anaknya, dan CEO Bezeq, kata seorang jurucakap Eurocom. Peguam Filber enggan mengulas.

Netanyahu bukan suspek dalam kes itu tetapi media Israel berkata dia mungkin disoalsiasat tidak lama lagi.

Minggu lalu, polis mengesyorkan Netanyahu didakwa dalam dua kes. Dalam satu kes, dia disyaki rasuah atas penerimaan hadiah dari ahli perniagaan kaya, yang menurut polis bernilai hampir A$300,000.

Dalam satu lagi kes, dia didakwa telah menawarkan penerbit akhbar harian terbesar Israel untuk mengurangkan peredaran akhbar saingan sebagai balasan terhadap laporan yang positif.

Netanyahu, yang mengekalkan jadual kerjanya dan dijangka menemui Presiden AS Donald Trump di Washington pada 5 Mac, telah menafikan semua tuduhan tersebut dan berikrar akan terus berkhidmat sehingga tamat tempoh jawatannya sehingga 2019.

Mandelblit menimbang dakwaan dalam siasatan tersebut, dengan keputusan mungkin dibuat beberapa bulan lagi. [Baca berita penuh]

- Reuters

 

Lihat Komen
ADS