Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Korea Utara batal bertemu naib presiden AS
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 11:13 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

GLOBAL Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence dijadual bertemu dengan pegawai Korea Utara ketika berada di Korea Selatan semasa Olimpik Musim Sejuk bulan ini, tetapi Korea Utara membatalkannya pada saat-saat akhir, kata pegawai AS semalam.

Selepas Pence mengutuk pelanggaran hak asasi manusia Korea Utara dan mengumumkan rancangan untuk sekatan ekonomi baru, "mereka membatalkan pertemuan itu atau mungkin mereka tidak pernah ikhlas untuk berbuat demikian," kata ketua kakitangan Pence, Nick Ayers dalam satu kenyataan.

Pence dijadual bertemu dengan pegawai Korea Utara termasuk Kim Yo Jong (gambar), adik perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.


Bagaimanapun, Korea Utara membatalkan pertemuan pada 10 Februari itu dua jam sebelum ia ditetapkan untuk bermula, kata seorang pegawai AS, mengesahkan berita yang pertama dilaporkan oleh Washington Post.

Perjumpaan itu akan merupakan yang pertama dijadualkan antara pegawai kanan dari pentadbiran Trump dan Pyongyang, yang berdepan kebuntuan berhubung pembangunan senjata nuklear Korea Utara yang mampu sampai ke sasaran di Amerika Syarikat.

Pence telah mengkritik cita-cita nuklear Pyongyang dan mengumumkan sekatan "paling sengit dan paling agresif" terhadap Pyongyang, dan pada masa yang sama mahu mengukuhkan pakatan AS dengan Jepun dan Korea Selatan.

Kim Jong Un (gambar), melalui adiknya itu, menjemput Presiden Korea Selatan Moon Jae-in ke Pyongyang untuk memulakan perbincangan "tidak lama lagi."


Ia mencetuskan spekulasi bahawa ia boleh membawa kepada perundingan langsung antara Washington dan Pyongyang selepas beberapa bulan ketegangan dan perang mulut antara Presiden AS Donald Trump dan Kim, yang menimbulkan kebimbangan tercetusnya perang.

Korea Utara telah tidak menjalankan sebarang ujian senjata muklear sejak akhir bulan November, selepas ia menguji peluru berpandu balistik antara-benua terbesar.

"Presiden membuat keputusan bahawa jika mereka mahu berbincang, kita akan menyampaikan mesej tanpa kompromi. Jika mereka mahu bertemu, kita akan berjumpa. Dia juga menjelaskan bahawa sehingga mereka bersetuju menghentikan pembangunan senjata nuklear, kita tidak akan mengubah sebarang pendirian kita atau berunding," kata Ayers, mengulangi komen yang dibuat oleh Pence sejak dia meninggalkan Olimpik, dan yang lain-lain oleh pegawai AS.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS