Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Vasanthapiriya: Polis tunggu laporan forensik

Polis dan pihak berkuasa sedang menunggu laporan forensik mengenai kematian remaja M Vasanthapiriya yang menggantung dirinya tiga minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafie Samad memberitahu Malaysiakini, mereka memerlukan laporan tersebut sebelum meneruskan tindakan selanjutnya.

"Belum dapat apa-apa perkembangan lagi. Kita kini sedang menunggu laporan doktor forensik," katanya.

Malaysiakini difahamkan laporan berkenaan akan disediakan oleh pakar forensik di Hospital Besar Pulau Pinang.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang yang turut meneliti kes itu berkata ia masih belum mengambil sebarang tindakan kerana menunggu maklumat daripada pihak polis.

"Jabatan ini sedang menunggu kemas kini daripada pihak polis sebelum (kami) meneruskan tindakan dalaman kami," kata timbalan pengarahnya, Mohd Jamil Mohamed ketika dihubungi.

Vasanthapiriya, pelajar tingkatan dua dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, cuba membunuh diri dengan menggantung dirinya selepas dituduh mencuri telefon bimbit seorang guru pada 24 Januari lalu.

Dia dimasukkan ke hospital di Hospital Seberang Jaya selepas mengalami kecederaan otak dan mengalami koma, namun disahkan meninggal dunia pada 1 Feb.

Keluarga remaja itu membuat laporan polis terhadap guru yang terlibat dan menyalahkan guru berkenaan sebagai punca kematian Vasanthapiriya.

Mohd Jamil mengesahkan guru itu ditempatkan di Pejabat Pendidikan Seberang Perai Selatan selepas beliau dipindahkan berikutan kejadian itu.

Lihat Komen
ADS