Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga emas berdepan tuduhan bunuh amah Indonesia

Seorang wanita warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pembantu rumah warga Indonesia.

MA Ambika, 60, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam pada 4 petang, 10 Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada warga emas berkenaan yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 April ini untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia, bedah siasat dan forensik.

Media sebelum ini melaporkan Adelina, yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam pada badannya, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada 4.45 petang, 11 Februari lalu.

Di mahkamah sama, anak perempuan warga emas itu didakwa atas pertuduhan mengambil bekerja pembantu rumah berkenaan yang diketahuinya tidak mempunyai pas yang sah.

R.Jayavartiny, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil kerja warganegara Indonesia, Adelina Lisao, yang diketahuinya tidak mempunyai pas yang sah di rumahya di Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2 antara Mac 2017 hingga 10 Februari lalu.

Jurujual itu didakwa mengikut Seksyen 55 (B) (1) Akta Imigresen yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Hamzah yang turut mengendalikan kes itu memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanpun, peguam Muhaimin Hashim yang mewakili Jayavartiny memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM12,000 atas alasan anak guamnya mahu mencari wang bagi melantik peguam dan membebaskan ibunya yang menghadapi tuduhan bunuh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan kes itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS