Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pimpinan dan ahli yang masih memiliki 'mentaliti Umno' dan suka membuka pekung sendiri dikatakan antara masalah utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Di Kelantan misalnya sudah muncul pemimpin peringkat bahagian yang secara terbuka menyerang parti.

Selain masalah seperti peruntukan kerusi, soal kewangan menjadi isu utama yang dikatakan menjadi punca rasa tidak puas hati pemimpin akar umbi.

Menurut sumber BERSATU negeri itu, antara isu yang mencetuskan rasa tidak puas hati ramai ahli adalah apabila 14 bahagian parti di sana hanya pernah diberikan peruntukan berjumlah RM5,000 sejak ia ditubuhkan sehingga kini.

Katanya, ia sama sekali bertentangan dengan jangkaan mereka dapat meneruskan "zaman mewah" ketika masih bersama Umno.

"Apa yang dibimbangkan kritikan terbuka dengan mengadakan sidang media seperti dibuat pimpinan bahagian Kota Bharu merebak.

"Memang ada rungutan tetapi tidak sanggup mengadakan sidang media, kita harap mereka bersabar dan fokus kepada matlamat perjuangan parti," katanya yang enggan nama disiarkan kepada Malaysiakini.

Dalam sidang media minggu lalu, BERSATU Kota Bharu mengkritik Parti Amanah Negara (AMANAH) yang didakwa mendominasi peruntukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selepas enam kali pertemuan, Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan dilaporkan akan membawa soal peruntukan kerusi ke peringkat pusat selepas gagal menyelesaikan tuntutan bertindih di 14 kerusi DUN.

'Tangan ghaib'

Ketua BERSATU Kelantan Datuk Kamaruddin Mohd Noor (gambar) ketika dihubungi mengakui masalah dan cabaran yang melanda parti itu.

Beliau berkata memang menerima rungutan berkaitan peruntukan namun menegaskan ia tidak boleh dijadikan alasan.

"Kita semua berkorban mengikut kemampuan dan kadar masing-masing. Ini baru permulaan, sama seperti ketika Umno baru ditubuhkan dahulu."

Beliau berkata segelintir pemimpin dan ahli parti masih memiliki 'mentaliti Umno' dan berkata ia memakan masa yang lama untuk diubah.

"Sebahagian besar ahli kita daripada Umno. Maka bukan badan saja yang berhijrah, perangai pun dibawa sekali," kata ketua penerangan BERSATU itu kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun mendakwa ada pihak luar yang mendalangi serangan anggota BERSATU terhadap kepimpinan parti.

"Apabila adik-beradik bergaduh, buka pekung sendiri, itu tidak betul. Sedangkan kita ada saluran dalam organisasi.

"Ini memberi tanda mereka bukan bertindak sendiri, tetapi ada tangan ghaib di sebaliknya yang bimbang dengan kehadiran dan kekuatan kita di gelanggang politik," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS