Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga amah Indonesia terima pampasan RM63,900

Pampasan dan tunggakan gaji berjumlah RM63,900 telah dibayar kepada keluarga Adelina Lisao, pembantu rumah warga Indonesia yang mati didakwa akibat didera.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, bayaran itu meliputi tunggakan gaji dari Januari 2015 hingga Februari 2018, berjumlah RM35,900 dan selebihnya pampasan untuk keluarganya termasuk kos penghantaran jenazah dan pengebumian.

"Bayaran itu telah dibuat pada 13 Februari lepas kepada Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang," kata Zahrain kepada pemberita di Jakarta hari ini.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan keluarga wanita itu mahukan pampasan serta tunggakan gaji selama tiga tahun yang tidak dibayar majikannya.

"Kes kematian Adelina adalah satu kejadian yang amat menyayat hati, saya berasa kesal kerana ia berlaku di Malaysia," kata Zahrain.

Pada 10 Februari lepas, Adelina, 28, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan lebam di kepala, tangan dan kaki akibat didera di sebuah rumah di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Adelina meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Bukit Mertajam.

Jenazahnya telah dihantar dan selamat dikebumikan di provinsi Nusa Tenggara Timur pada 19 Februari lalu.

Bercakap kepada media yang dihadiri ramai wartawan Indonesia hari ini, Zahrain berkata Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kes berkenaan.

Sementara itu, di Bukit Mertajam, seorang wanita warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh Adelina.

MA Ambika, 60, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Adelina di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam pada 4 petang, 10 Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada warga emas berkenaan yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 April ini untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia, bedah siasat dan forensik.

Di mahkamah sama, anak perempuan warga emas itu didakwa atas pertuduhan mengambil bekerja pembantu rumah berkenaan yang diketahuinya tidak mempunyai pas yang sah.

R.Jayavartiny, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Jurujual itu didakwa mengikut Seksyen 55 (B)(1) Akta Imigresen yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS