GLOBAL Seorang orang kepercayaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah bersetuju untuk menjadikan saksi pendakwa dalam salah satu daripada beberapa siasatan kes rasuah yang kini mengancam kelangsungan politik pemimpin konservatif itu, kata media tempatan.
Keputusan Shlomo Filber untuk memberi keterangan terhadap bekas bosnya itu, telah mencetuskan spekulasi bahawa Netanyahu, 68, akan memanggil pilihan raya mengejut untuk cuba menghentikan prosiding undang-undang semasa kempen dan mengumpul sokongan terhadapnya.
Tokoh politik Israel yang dominan untuk satu generasi itu - berkuasa sejak tahun 2009 dan sejumlah 12 tahun sejak tahun 1996.
Filber, yang dilantik oleh Netanyahu untuk mengetuai Kementerian Komunikasi, ditangkap minggu ini bersama dengan pegawai eksekutif di Bezeq Telecom, syarikat telekomunikasi terbesar Israel.
Dalam laporan yang tidak bersumber, media Israel berkata, Filber kini telah bersetuju untuk memberi keterangan dalam kes itu, di mana pihak polis mendakwa pemilik Bezeq menawarkan liputan yang positif di media yang dikuasai mereka sebagai balasan kepada pihak pengawalselia. Bezeq, pemilik dan eksekutifnya menafikan melakukan sebarang salah laku.
Jurucakap polis enggan mengulas. Peguam Filber tidak dapat segera dihubungi untuk mendapatkan komen sama ada satu persetujuan telah dicapai.
Polis mengesyorkan minggu lalu supaya Netanyahu sendiri didakwa dalam dua penyiasatan rasuah yang tidak berkaitan. Peguam negara mesti memutuskan sama ada hendak menerima syor polis itu untuk mendakwanya.
Dalam satu siasatan, dia disyaki menerima hadiah yang dikatakan polis bernilai hampir AS$300,000, dari ahli perniagaan kaya. Yang lain melibatkan dakwaan plot untuk mendapatkan liputan positif dalam sebuah akhbar terbesar Israel dengan menawarkan untuk mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan edaran akhbar saingan.
Dalam satu lagi kes yang didedahkan minggu ini, salah seorang bekas jurucakap Netanyahu didakwa telah cuba menyogok seorang hakim untuk menyekat kes terhadap isteri Netanyahu, Sara yang didakwa membelanjakan dana negara untuk katering peribadi.
Jurucakap keluarga Netanyahu menyifatkan tuduhan itu satu "halusinasi".
Setakat ini, rakan-rakan dalam kerajaan gabungannya menyokong Netanyahu, dengan mengatakan mereka sedang menunggu langkah-langkah seterusnya dari peguam negara.
Pilihan raya awal?
"(Netanyahu) dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, walaupun ada yang cuba menyingkirkan perdana menteri tanpa melalui pilihan raya," kata Menteri Pertanian, Uri Ariel dari parti Yahudi Home, di stesen Channel 13 Israel setelah berita mengenai persetujuan saksi tersebut untuk memberi keterangan.
Jewish Home mempunyai lapan penggubal undang-undang dalam gabungan 66 kerusi Netanyahu di parlimen, cukup untuk menjatuhkan kerajaan jika parti itu meninggalkan.
Satu tinjauan pendapat yang diterbitkan pada malam Rabu di berita TV komersial berkata 50 peratus responden berpendapat sama ada Netanyahu berundur atau meletak jawatan untuk sementara semasa siasatan dijalankan, manakala 33 peratus lagi berkata dia tidak perlu berbuat demikian
Manakala stesen televisyen Channel 10 menunjukkan bahawa di bawah pimpinan Netanyahu, partinya, Likud, akan meraih 27 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 120 kerusi jika pilihan raya diadakan sekarang.
Netanyahu menyiarkan satu tinjauan pendapat di Facebook pada hari Rabu - yang ditugaskan oleh Likud - yang menunjukkan bahawa ia akan meningkatkan perwakilannya di parlimen dari 30 kerusi kepada 34 jika pilihan raya diadakan sekarang.
Satu kaji selidik yang diterbitkan pada 14 Februari menunjukkan hampir separuh daripada pengundi Israel percaya dengan tuduhan rasuah oleh pihak polis terhadap Netanyahu, manakala 25 peratus mengatakan mereka percaya dengan penafian Netanyahu. Selebihnya berkata mereka tidak tahu siapa yang harus dipercayai.
[Baca berita penuh]
- Reuters
