Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberikan satu nasihat kepada rakyat Malaysia - hargailah pasangan dan juga ibu bapa kita.

"Kadang-kadang kita gagal menghargai ibu bapa, gagal hargai isteri kita. Saya tak patut cakap tentang perkara ini," seloroh Najib dalam program Sesi bersama PM yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

"Anda sedar (ibu bapa dan isteri) adalah sangat penting dan menjadi faktor yang sangat besar kepada anda," katanya.

Najib mengaitkannya tentang kepentingan sikap menghargai negara di kalangan rakyat.

Beliau mengakui betapa klisenya kata-kata tentang Malaysia sebagai negara yang aman dan unik.

"Tetapi ini adalah sesuatu yang tak seharusnya kita lupa, ini kerana kita hanya menghargai sesuatu perkara apabila ia sudah hilang.

"Saya menonton televisyen ketika sarapan pagi tadi (dan lihat) anak-anak di Syria kehilangan ibu bapa, duduk di terowong bawah tanah kerana kota mereka akan musnah. Bayangkanlah.

"Alhamdulillah banyak yang kita boleh syukuri di Malaysia," katanya.

Beliau berkata kesatuan dan kepelbagaian adalah salah satu keindahan negara dan rakyat perlu menghargainya.

"Ini adalah cara hidup rakyat Malaysia. Saya sudah ke banyak negara lain di dunia ini dan saya boleh katakan tiada yang sama seperti negara kita.

"Mungkin ada di kalangan anda yang tidak bersetuju, tetapi saya sangat percaya bahawa kita perlu hargai banyak perkara tentang Malaysia," katanya lagi.