Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menjelang tarikh akhir, pembahagian kerusi HARAPAN belum jelas

Sehari sebelum tarikh akhir rundingan kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) peringkat negeri, masih belum jelas sama ia sudah diselesaikan.

Difahamkan negeri yang belum memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi masa sehingga esok untuk berbuat demikian, manakala Selangor sehingga 26 Februari ini.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ketika ditanya tentang soal itu tidak menjawabnya secara khusus tetapi berkata optimis dengan rundingan yang sedang berlangsung.

"Pastinya kita mahu penyelesaian sebaik mungkin dan cepat. Kita ada mesyuarat sangat kerap, saya bertemu dengan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad lebih banyak berbanding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Esok adalah tarikh akhir bagi peringkat negeri dan saya optimis tentangnya," katanya pada sidang media di pusat khidmat Parlimen Lembah Pantai hari ini.

Anggota Parlimen Lembah Pantai itu berkata soal pembahagian kerusi bukanlah perkara yang mudah diselesaikan namun struktur HARAPAN menjadikannya "lebih positif".

"Ini adalah proses paling positif berbanding dahulu. Bukan senang nak lepaskan kerusi (yang telah ditandingi) tetapi kita lakukan demi rakyat," katanya lagi.

Sementara itu beliau menyifatkan HARAPAN tiada pilihan lain selain memfailkan saman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang didakwa tidak memberi maklum balas terhadap permohonan mereka untuk menjadi gabungan rasmi.

"Kalau nak berlawan sebagai pahlawan, biarlah di gelanggang yang sama rata. Maka kami tiada pilihan lain selain saman," katanya lagi.

HARAPAN pada asalnya berhasrat untuk bertanding menggunakan satu logo pada PRU ke-14 namun tidak boleh berbuat demikian selagi tidak berdaftar secara rasmi.
 

Lihat Komen
ADS